SHAH ALAM, 12 JUN: Isu penempatan etnik Rohingya di Malaysia memerlukan penyelesaian menyeluruh melibatkan pelbagai agensi serta negara berkaitan, kata Timbalan Ketua Polis Negara.
Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan jumlah etnik Rohingya di negara ini kini mencecah 128,200 orang daripada keseluruhan 219,472 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
"Daripada jumlah itu, seramai 197,591 ialah warga Myanmar dan 128,200 daripadanya merupakan etnik Rohingya.
"Ini bukan isu baharu dan ia memerlukan penyelesaian yang lebih komprehensif kerana melibatkan pelbagai pihak," katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Lawatan Sempena Hari Polis di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Cheras, hari ini.
Menurut Ayob Khan, isu Rohingya tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau Jabatan Imigresen Malaysia semata-mata.
Katanya, isu berkenaan melibatkan pelbagai aspek termasuk kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), keselamatan negara dan kemanusiaan yang memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
"Polis merupakan pihak terakhir dalam rantaian ini. Dari sudut keselamatan dan jenayah, kita akan mengambil tindakan sekiranya mereka terlibat dalam sebarang kesalahan.
"Namun, apabila mereka ditangkap dan dihukum, timbul persoalan ke mana mereka hendak dihantar semula. Sebab itu isu ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk negara sumber dan negara lain yang berkaitan," katanya.
Beliau berkata operasi membanteras penempatan PATI termasuk membabitkan etnik Rohingya terus dilaksanakan dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, antara tindakan yang diambil ialah operasi di kawasan Flat Rancangan Sungai Tekali, Hulu Langat yang menyaksikan seramai 42 individu ditahan.
"Ketua Polis Daerah Kajang juga telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu pada 9 Jun lalu," ujarnya.
Mengulas cadangan mewujudkan pusat penempatan Rohingya di sebuah pulau berhampiran Laut Andaman, Ayob Khan berkata pelbagai perkara perlu diperhalusi sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Soalnya, siapa yang akan menguruskan pusat itu, siapa yang akan membiayainya dan selepas proses saringan dilakukan, mereka hendak ditempatkan di mana?
"Adakah negara ketiga sanggup menerima mereka? Ini antara persoalan utama yang perlu dijawab sebelum sesuatu cadangan itu dilaksanakan," katanya.






