Sultan, Permaisuri Selangor lawat Masjid Sakirin Istanbul, kagum seni bina moden unik

10 Jun 2026, 12:00 PM
Sultan, Permaisuri Selangor lawat Masjid Sakirin Istanbul, kagum seni bina moden unik
Sultan, Permaisuri Selangor lawat Masjid Sakirin Istanbul, kagum seni bina moden unik

SHAH ALAM, 10 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor berkenan berangkat melawat Masjid Sakirin di Istanbul, Turkiye, Ahad lalu.

Selangor Royal Office menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin tertarik dengan keunikan seni bina masjid moden tersebut yang disifatkan antara masjid paling unik di dunia Islam.

Masjid yang dibuka secara rasmi pada 7 Mei 2009 itu menggabungkan seni bina Islam tradisional dengan sentuhan kontemporari yang halus dan elegan.

“Arkitek utama masjid ialah Hüsrev Tayla, yang terkenal kerana terlibat dalam pembinaan Kocatepe Mosque. Namun, yang menjadikan Masjid Sakirin terkenal di seluruh dunia ialah penglibatan Zeynep Fadıllıoğlu sebagai pereka dalaman.

“Beliau sering dianggap wanita pertama dalam era moden yang mereka bentuk sebuah masjid secara signifikan, khususnya dari aspek reka bentuk dalaman. Zeynep turut menjelaskan beliau berhasrat menghasilkan ruang ibadah yang lebih lembut, terang dan inklusif tanpa menghilangkan identiti Islam,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, pembinaan masjid itu mengambil masa empat tahun dan dibina oleh Yayasan Semiha Sakir sebagai penghormatan kepada pasangan dermawan Ibrahim Sakir dan Semiha Sakir.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM)Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat melawat ke Masjid Şakirin di Istanbul, Turkiye pada 7 Jun 2026. Foto Facebook Selangor Royal Office

Antara tarikan utama ruang dalamannya ialah candelier gergasi berbentuk titisan air yang menjadi elemen ikonik bangunan berkenaan.

Candelier yang terdiri daripada ratusan bebola kaca itu melambangkan doa agar cahaya dan rahmat Allah SWT sentiasa melimpahi umat manusia.

“Masjid Sakirin bukan sekadar dikenali sebagai masjid yang direka oleh seorang wanita, sebaliknya menjadi bukti bahawa seni bina Islam mampu berkembang seiring perubahan zaman tanpa memutuskan hubungan dengan tradisi.

“Ia menunjukkan sesebuah masjid boleh terus berteraskan tauhid, kiblat, mihrab dan warisan Islam, sambil mengadaptasi bahasa reka bentuk abad ke-21.

“Ramai pengkritik seni bina menganggapnya sebagai antara contoh terbaik dialog antara tradisi Uthmaniyyah dan reka bentuk moden,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM)Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat melawat ke Masjid Şakirin di Istanbul, Turkiye pada 7 Jun 2026. Foto Facebook Selangor Royal Office

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.