Sultan dan Permaisuri ucap Selamat Hari Natal, seru perpaduan demi keharmonian

23 Dis 2025, 1:41 PM
Sultan dan Permaisuri ucap Selamat Hari Natal, seru perpaduan demi keharmonian

SHAH ALAM, 23 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri hajah Norashikin berkenan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Natal kepada seluruh penganut agama Kristian, khususnya di Selangor.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini, Baginda berdua menzahirkan harapan agar sambutan berkenaan diraikan dalam suasana penuh kegembiraan, kemakmuran serta kesyukuran bersama keluarga dan masyarakat sekeliling.

Sultan Sharafuddin turut bertitah agar nilai kasih sayang, toleransi dan saling menghormati yang dizahirkan melalui sambutan perayaan itu terus diperkukuhkan demi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Beta berharap semangat kasih sayang dan saling menghormati yang dizahirkan melalui sambutan Krismas ini akan terus memperkukuh perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Merry Christmas dan Selamat Menyambut Hari Natal,” titah Baginda seperti yang dikongsikan dalam hantaran berkenaan.