SHAH ALAM, 2 APRIL: DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke Nagoya, Jepun, bagi menyertai Program Kerjasama Strategik Pembangunan Tengku Permaisuri Selangor Ceramic Hub (TPS Ceramic Hub), semalam.
Keberangkatan Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke lawatan berkenaan atas persilaan UiTM.
"Pembangunan TPS Ceramic Hub bakal direalisasikan menerusi kerjasama dengan institusi dan industri seramik di Wilayah Aichi dan Gifu, Jepun, yang terkenal sebagai pusat utama industri seramik dunia dengan sejarah dan tradisi yang kaya serta menghasilkan karya seramik berkualiti tinggi," menurut hantaran Selangor Royal Office di Facebook
Turut mengiringi Baginda berdua ialah Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibbudin, Penasihat Undang-Undang UiTM Prof Dr Hartini Saripan serta pensyarah kanan Jabatan Seramik Perindustrian, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM.

Pada hari pertama program, Duli-Duli Tuanku berkenan melawat Noritake Garden, kompleks budaya dan industri yang mempamerkan sejarah perkembangan seramik Noritake.
Lawatan turut merangkumi Noritake Museum, pusat kraftangan, studio reka bentuk dan taman budaya yang mempamerkan integrasi industri seramik, inovasi reka bentuk, dan pelancongan budaya – dijadikan rujukan strategik bagi pembangunan TPS Ceramic Hub di UiTM.

Baginda dan Tengku Permaisuri turut meninjau Nagoya Castle, di mana Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menyarungkan pakaian tradisional wanita Jepun, kimono, sebagai penghormatan kepada budaya tempatan.
Lawatan ini dijangka memberi inspirasi dan panduan strategik dalam memperkasa industri kreatif berasaskan seramik di Selangor, sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri dan UiTM memajukan sektor seni dan reka bentuk tempatan.









