Pemimpin setempat hargai kunjungan RMS, harap projek infrastruktur berjalan lancar

10 Jun 2026, 8:00 AM
Pemimpin setempat hargai kunjungan RMS, harap projek infrastruktur berjalan lancar
Pemimpin setempat hargai kunjungan RMS, harap projek infrastruktur berjalan lancar
Pemimpin setempat hargai kunjungan RMS, harap projek infrastruktur berjalan lancar
Pemimpin setempat hargai kunjungan RMS, harap projek infrastruktur berjalan lancar

SEPANG, 10 JUN: Pemimpin dan penduduk setempat menzahirkan penghargaan atas kesudian Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turun padang ke Sepang menerusi Jelajah Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0 hari ini.

Kehadiran Baginda turut membangkitkan harapan penduduk untuk melihat pembangunan kemudahan riadah di Kampung Bagan Lalang serta kerja naik taraf Jeti Kampung Jelutong Indah yang semakin uzur dapat dilaksanakan.

Setiausaha Kampung Bagan Lalang Mohd Azmir Yahliman berkata cadangan pembangunan tapak rekreasi di kampung berkenaan amat dinantikan kerana kawasan itu tidak mempunyai kemudahan sukan khusus untuk golongan belia.

“Apabila dengar RMS akan turun padang, kami ada buat permohonan untuk majukan tempat ini sebagai tempat riadah seperti pickleball atau padang futsal. Kampung ini tiada tempat bersukan untuk belia.

“Apabila ia dapat dimajukan sebagai tapak rekreasi nanti, kami bercadang untuk tambah pasar malam atau sebagainya untuk meriahkan lagi tempat ini,” katanya kepada Media Selangor.

Tapak cadangan pembangunan kemudahan riadah di Kampung Bagan Lalang yang sebelum ini merupakan rumah rehat terbiar, dirakam ketika tinjauan pada 10 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Ketua Kampung Jelutong Indah Muhammad Syafiiq Tahir berkata lawatan tersebut memberi peluang kepada penduduk mengetengahkan keperluan menaik taraf Jeti Kampung Jelutong Indah yang telah berusia kira-kira 20 tahun.

Menurutnya, jeti berkenaan masih digunakan nelayan tempatan selain menjadi lokasi aktiviti riadah dan laluan alternatif ke Negeri Sembilan.

“Ini pertama kali RMS datang. Saya dan penduduk kampung berasa bersyukur kerana diberi perhatian bagi kawasan kampung ini terutamanya bagi jeti di sini.

“Jeti ini sudah dibina 20 tahun lepas. Selepas 20 tahun, ia kini sudah uzur dan tidak selamat. Jadi kita harap dengan kedatangan RMS akan membantu untuk menyelenggara dan tambah baik,” katanya.

Jeti Kampung Jelutong Indah di Sungai Pelek, Sepang yang masih digunakan nelayan tempatan dan orang awam ketika tinjauan pada 10 Jun 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Tengku Amir Shah melawat tapak cadangan pembangunan kemudahan riadah di Kampung Bagan Lalang yang sebelum ini merupakan sebuah rumah rehat terbiar.

Baginda kemudian dibawa meninjau Jeti Kampung Jelutong Indah di Sungai Pelek yang masih digunakan nelayan tempatan selain menjadi lokasi aktiviti berkayak dan laluan alternatif ke Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan sama, EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail memaklumkan kedua-dua projek berkenaan akan menerima peruntukan RM500,000 dengan pelaksanaannya diselaraskan oleh Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.