Raja Muda Selangor santuni rakyat, tinjau projek komuniti di Sepang

10 Jun 2026, 5:33 AM
Raja Muda Selangor santuni rakyat, tinjau projek komuniti di Sepang

SEPANG, 10 JUN: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke daerah ke empat di sini, sempena Jelajah Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0 hari ini.

Baginda memulakan kunjungan ke Sepang dengan bersantap pagi bersama rakyat di Dapur Warisan, Kampung Bagan Lalang, sebelum meneruskan lawatan ke tapak kemudahan rekreasi di kampung berkenaan.

Tengku Amir Shah kemudiannya dibawa melawat ke Jeti Kampung Jelutong Indah di Sungai Pelek, yang merupakan jeti nelayan tempatan selain digunakan bagi aktiviti riadah dan laluan alternatif ke Negeri Sembilan.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Berkenan beramah mesra bersama penduduk sebelum berangkat pulang ketika program Gagasan Rumpun Selangor (GRS 2.0) Daerah Sepang di Jeti Mat Zen, Sepang pada 10 Jun 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail berkata semua lokasi lawatan GRS 2.0 merupakan gagasan yang diilhamkan sendiri oleh Raja Muda Selangor bagi membantu menaik taraf ekonomi masyarakat setempat.

“Pada GRS 1.0 adalah dimana Tuanku melihat keseluruhan pembangunan, pendidikan dan sebagainya. Sebab itu perjalanan ketika itu agak lama sehingga tiga hari dua malam.

“Dalam GRS 2.0, lebih kepada gagasan Tuanku. Tuanku mahu membuat sesuatu yang dapat membantu masyarakat setempat, meningkatkan ekonomi dan menaiktaraf kehidupan. Sebab itu Baginda memilih beberapa tempat yang sesuai untuk dibangunkan,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Rizam bersama pemimpin masyarakat mengiringi Tengku Amir Shah dan membantu menyampaikan penerangan dalam setiap lokasi lawatan yang dikunjungi Baginda di Sepang, di sini.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mendengar penerangan daripada pegawai Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) ketika program Gagasan Rumpun Selangor (GRS 2.0) Daerah Sepang di Tapak Rekreasi Bangan Lalang, Sepang pada 10 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, Rizam menambah, Raja Muda Selangor berkenan membantu menaik taraf bagi cadangan pembangunan tapak rekreasi di Kampung Bagan Lalang dan projek naik taraf Jeti Kampung Jelutong Indah.

Menurutnya, kedua-dua projek infrastruktur tersebut akan menerima peruntukan sebanyak RM500,000 dan akan dilaksanakan oleh Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI).

“Di lokasi pertama Tuanku perkenan membantu dalam bentuk projek pembangunan sebanyak RM500,000 dan di lokasi kedua juga sebanyak RM500,000.

“Peruntukan ini daripada GRS 2.0 yang disediakan Kerajaan Negeri bersama Tuanku. Tuanku yang bercadang dan memperkenan, dan kita akan realisasikan. Pelaksanaan akan dibuat Yayasan MBI selaku badan pelaksana,” katanya.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melihat tayangan berkenaan tapak rekreasi ketika program Gagasan Rumpun Selangor (GRS 2.0) Daerah Sepang di Tapak Rekreasi Bangan Lalang, Sepang pada 10 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, Rizam Ismail memaklumkan GRS 2.0 akan memperkenalkan projek angkat melibatkan pembinaan baharu, baik pulih dan penyelenggaraan infrastruktur, dengan tumpuan kepada mengenal pasti kemudahan rosak.

GRS yang diperkenalkan pada tahun lalu dianjur bagi memperkukuh semangat perpaduan dan sistem kemasyarakatan serta hubungan sosial di Selangor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.