SHAH ALAM, 10 JUN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melaksanakan aktiviti kawalan LILATI (lipas, lalat dan tikus) di Selera@Bagan Lalang dan Pusat Penjaja Bagan Lalang bagi memastikan tahap kebersihan premis makanan serta persekitaran sentiasa terpelihara.
Menurut MPSepang, aktiviti itu dilaksanakan menerusi Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPSepang sempena Program Gotong-Royong dan Spring Cleaning yang diadakan baru-baru ini.
"Selain kerja-kerja pembersihan, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MPSepang turut menjalankan aktiviti kawalan LILATI di sekitar Selera@Bagan Lalang dan Pusat Penjaja Bagan Lalang.
"Aktiviti ini dilaksanakan sebagai langkah kawalan perosak bagi memastikan tahap kebersihan premis makanan dan persekitaran sentiasa terpelihara demi keselesaan peniaga serta pengunjung," kongsi MPSepang menerusi Facebook.
MPSepang memaklumkan, program berkenaan turut melibatkan penyertaan penyewa Selera@Bagan Lalang, penyewa Pusat Penjaja Bagan Lalang, kontraktor Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta serta kerjasama beberapa jabatan berkaitan.
Katanya, antara aktiviti dilaksanakan termasuk pembersihan kawasan premis dan longkang, pengumpulan serta pelupusan sisa pukal, pembersihan semak-samun, pengemasan landskap dan kerja-kerja spring cleaning.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, pelaksanaan program itu merupakan sebahagian daripada Jadual Spring Cleaning Tahun 2026 yang dijalankan secara berkala setiap bulan di premis-premis di bawah seliaan Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta.
"Melalui program ini, sejumlah sisa pukal, barangan terbiar, dahan pokok, semak-samun dan pelbagai bahan buangan lain berjaya dikumpulkan serta dilupuskan secara teratur.
"Semangat gotong-royong yang ditunjukkan mencerminkan keprihatinan dan tanggungjawab bersama dalam memastikan kebersihan, keselesaan serta imej kawasan tumpuan awam dan pelancongan di Bagan Lalang terus terpelihara," katanya.









