SHAH ALAM, 10 JUN: Peluang pekerjaan dilihat sebagai antara faktor penting dalam membantu golongan orang kurang upaya (OKU) membina kehidupan yang lebih berdikari serta menjamin masa depan yang lebih baik.
Pandangan itu dikongsi peserta yang menghadiri Majlis Pelancaran Dasar OKU Selangor 2026-2030 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM), semalam, yang turut menampilkan karnival kerjaya dan pelbagai inisiatif pemerkasaan golongan OKU.
S. Kannan berkata beliau hadir ke program berkenaan bagi mencari peluang pekerjaan yang sesuai untuk anaknya yang mempunyai masalah pembelajaran.
Menurutnya, beberapa syarikat yang ditemui memberikan maklum balas positif, namun peluang pekerjaan khusus untuk golongan OKU masih terhad dan sukar diperoleh berbanding pencari kerja lain.
“Saya berharap lebih banyak syarikat dan majikan membuka peluang pekerjaan kepada golongan OKU supaya mereka dapat berdikari, menyara kehidupan sendiri dan mempunyai masa depan yang lebih terjamin,” katanya.
Sementara itu, penerima Anugerah Kecemerlangan OKU UiTM, Iris Jasmine Mohammad Rashid berkata program seumpama itu penting dalam membuka ruang kepada masyarakat dan majikan untuk melihat sendiri potensi serta kebolehan sebenar individu OKU.

Graduan Ijazah Komunikasi Interpersonal itu berkata individu neurodivergen mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bidang pekerjaan.
“Ramai masih mempunyai tanggapan bahawa individu OKU atau neurodivergen mempunyai batasan tertentu, sedangkan mereka juga mampu memberi sumbangan besar jika diberikan peluang yang sesuai.
“Program seperti ini membantu meningkatkan kesedaran masyarakat selain membuka lebih banyak ruang kepada golongan OKU untuk menunjukkan bakat, kemahiran dan potensi mereka,” katanya.
Beliau yang kini bekerja di sebuah perusahaan sosial yang membantu kanak-kanak autisme dan neurodivergen turut menyifatkan pengiktirafan terhadap pencapaian golongan OKU sebagai langkah penting dalam memperkasakan komuniti berkenaan.







