SHAH ALAM, 11 OKT: Majikan diseru membuka lebih banyak peluang pekerjaan secara inklusif kepada golongan rentan, khususnya orang kurang upaya (OKU), dengan menilai calon berdasarkan keupayaan, kemahiran dan potensi, bukan keterbatasan fizikal semata-mata.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata golongan OKU berupaya menjadi pekerja produktif sekiranya diberikan persekitaran kerja bersesuaian, kemudahan munasabah serta sokongan majikan.
Menurutnya, golongan rentan tidak seharusnya dilihat hanya sebagai penerima bantuan, sebaliknya mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.
“Golongan rentan bukan sekadar penerima bantuan, tetapi merupakan sebahagian daripada tenaga kerja dan rakan pembangunan negeri yang mempunyai potensi untuk menyumbang kepada kemajuan Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya JobCare Istimewa Selangor 2026 yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

Papparaidu berkata karnival yang memberi tumpuan kepada golongan rentan itu menawarkan 3,568 kekosongan jawatan menerusi penyertaan 40 majikan daripada pelbagai sektor.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 1,603 jawatan disasarkan kepada Orang Asli, diikuti veteran (1,333), OKU (472) dan warga emas (160).
Sebanyak 2,854 jawatan atau 80 peratus ditawarkan di Selangor, manakala 714 lagi melibatkan penempatan di luar negeri.
Dari segi pendapatan, sebanyak 2,102 jawatan atau 59 peratus menawarkan gaji di bawah RM2,500, manakala 1,466 jawatan atau 41 peratus menawarkan gaji melebihi RM2,500.
Karnival sehari itu turut menyediakan peluang pekerjaan dengan tawaran gaji antara RM5,000 hingga RM12,999, termasuk jawatan dalam bidang pengurusan, teknikal dan kejuruteraan.

Sektor pembuatan mencatat kekosongan tertinggi dengan 1,872 jawatan atau 52.46 peratus, diikuti pengangkutan dan penyimpanan (794), peruncitan dan jualan (553) serta perkhidmatan lain (349).
Menurut Papparaidu, usaha memperluas peluang pekerjaan perlu bergerak seiring dengan peningkatan kemahiran dan pembangunan modal insan bagi membantu rakyat memperoleh pendapatan lebih baik serta membina kerjaya mampan.
Beliau berkata kejayaan penganjuran karnival kerjaya tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah majikan atau kekosongan ditawarkan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira bilangan pencari kerja yang berjaya memperoleh dan mengekalkan pekerjaan.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi MYFutureJobs, majikan dan agensi berkaitan bagi memastikan lebih ramai rakyat, khususnya golongan rentan, mendapat akses kepada peluang pekerjaan bersesuaian,” katanya.









