SINGAPURA, 10 JUN: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengadakan pertemuan dengan Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan di pejabat kementerian semalam.
Amirudin berkata pertemuan kira-kira dua jam itu menyentuh pelbagai perkara, termasuk hubungan dua hala Malaysia-Singapura serta usaha menangani isu serantau dan sempadan yang sering menjadi cabaran di rantau Asia Tenggara.
“Banyak isu kami bincangkan terutama masa depan Malaysia selain Vivian turut berkongsi pengalaman beliau menguruskan sumber air mentah, minuman termasuk masalah banjir negara ini.
“Saya melihat Malaysia dan Singapura mempunyai peranan khusus dalam meneruskan keamanan rantau. Keduanya (perlu) kekal sebagai tempat berdaya saing untuk perkembangan ekonomi dunia dan serantau,” katanya.
Pertemuan itu merupakan antara agenda sempena lawatan rasmi Amirudin ke Singapura selama tiga hari yang berakhir hari ini di bawah Program S R Nathan Fellowship.
Program berkenaan bertujuan menggalakkan pertukaran pandangan dan perkongsian pengalaman antara pemimpin serta pegawai kanan luar negara dengan Singapura dalam pelbagai bidang strategik.
Selain itu, beliau turut meluangkan masa kira-kira sejam melawat Pameran Fail Albatross di Lembaga Perpustakaan Negara yang memaparkan sejarah pemisahan Singapura daripada Malaysia berdasarkan perspektif pemimpin republik tersebut.
“Ada sebahagian perspektif yang menarik boleh ditonton. Bagaimana usaha kedua-dua pimpinan menjadikan perpisahan ini teratur walaupun di belakangnya mempunyai sejarah dan latar belakang tersendiri.
“Penyampaian sejarah dipapar dengan sistematik dan dipapar agak baik. Dokumen penting berkait dengan sejarah perpisahan pada 1965 dipamer kepada awam dikumpul dalam file Albatross,” katanya.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke ITE College West bagi melihat secara lebih dekat pentadbiran pusat pengajian itu terutama dalam pembelajaran bidang automatif dan hospitaliti.
Turut serta EXCO Pelaburan Ng Sze Han, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Saipolyazan M. Yusop dan Ketua Pengarah Eksekutif Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) Dr Hafizzal Hamid.









