SHAH ALAM, 9 JUN: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) terus memperkukuh pengurusan sumber air dan perlindungan sungai menerusi penglibatannya dalam pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat Fasa 2, Pakej 1 di daerah Hulu Langat.
Agensi itu menyertai sesi lawatan tapak serta Mesyuarat Libat Urus Pihak Berkepentingan bagi pelaksanaan Makmal Kajian Nilai (Value Assessment – VA) yang dianjurkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) selama dua hari bermula semalam.
Menurut LUAS, pelaksanaan makmal berkenaan merupakan sebahagian daripada keperluan Pengurusan Nilai (Value Management – VM) bagi projek kerajaan bernilai RM70 juta dan ke atas selaras dengan Pekeliling Kementerian Ekonomi Bilangan 1 Tahun 2024.
Katanya, proses itu bertujuan mengkaji keperluan sebenar projek, memuktamadkan skop pelaksanaan serta memastikan nilai dan kos projek dapat dioptimumkan bagi memenuhi keperluan serta objektif yang ditetapkan.
“Sebagai agensi yang menguruskan sumber air Selangor, LUAS memberi pandangan teknikal berkaitan perlindungan sungai, kawalan pembangunan dan langkah mitigasi bagi pelaksanaan projek RTB Sungai Langat Fasa 2,” katanya menerusi Facebook.
Sesi libat urus itu turut menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, syarikat utiliti serta pemegang taruh lain bagi membincangkan isu berkaitan tapak, perundangan dan teknikal.
Menurut LUAS, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan projek yang dirancang dapat dilaksanakan secara berkesan selain memenuhi keperluan pengurusan banjir dan pemeliharaan sumber air secara mampan.
Kerajaan memperuntukkan RM725.7 juta bagi pelaksanaan projek RTB di kawasan Dengkil hingga Labohan Dagang menerusi inisiatif Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT) bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan terlibat.
Projek RTB Sungai Langat dilaksanakan menerusi dua fasa utama dengan Fasa 1 dijangka siap pada 2027 manakala Fasa 2 pada 2030 dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 120,000 penduduk menerusi pengurangan impak banjir di kawasan terbabit.
Bagi Pakej 1 di Hulu Langat, projek bernilai RM512 juta itu meliputi kawasan dari Kampung Sungai Lui hingga Taman Sri Nanding dengan skop pembinaan benteng banjir, sistem pam, kolam takungan dan pintu kawalan air.
Sementara itu, Pakej 2 di daerah Sepang melibatkan kos RM684.6 juta dengan skop utama merangkumi pembinaan lencongan Sungai Labu, tebatan tebing (floodwall), kolam takungan banjir di Kampung Kelinsing, sistem pam serta kerja menaik taraf saliran.








