SHAH ALAM, 9 JUN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa negeri termasuk Selangor sehingga 6 petang hari ini.
Menurut kenyataan MetMalaysia, kawasan terlibat di Selangor ialah Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang, selain Putrajaya.
Amaran sama turut melibatkan beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.
Di Malaysia Timur, cuaca buruk dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sarawak melibatkan bahagian Miri, manakala di Sabah membabitkan Pedalaman, Pantai Barat, Sandakan dan Kudat.
MetMalaysia memaklumkan amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat petunjuk cuaca yang menunjukkan hujan berintensiti melebihi 20 milimeter sejam hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
Amaran berkenaan merupakan amaran jangka pendek yang sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi saluran rasmi MetMalaysia dari semasa ke semasa.







