MB lawat Masjid Ba’alwie, kagum manuskrip al-Quran berusia 600 tahun

9 Jun 2026, 12:01 AM
MB lawat Masjid Ba’alwie, kagum manuskrip al-Quran berusia 600 tahun
MB lawat Masjid Ba’alwie, kagum manuskrip al-Quran berusia 600 tahun
MB lawat Masjid Ba’alwie, kagum manuskrip al-Quran berusia 600 tahun

SINGAPURA, 9 JUN: Dato’ Menteri Besar meluang masa melihat artifak lama seperti manuskrip al-Quran berusia lebih 600 tahun yang dipamerkan di Masjid Ba’alwie, dekat sini, semalam.

Dalam lawatan lebih sejam itu, Dato’ Seri Amirudin Shari menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum melawat koleksi al-Quran tulisan tangan dari pelbagai negara serta artifak bersejarah lain seperti porselin, pakaian, kain mimbar dan kasut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman bersama Syed Ahmed Al Attas (kanan) dan Habib Hassan Al Attas di Masjid Ba’alwie ketika lawatan rasmi ke Singapura selama tiga hari di bawah program S R Nathan Fellowship pada 8 Jun 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Amirudin berkata, masjid milik keluarga Habib Hassan Al Attas yang dibina sejak era 1950-an itu menjadi platform penting kepada masyarakat kerana fungsinya bukan sekadar sebagai tempat ibadah dan dakwah, malah turut berperanan sebagai pusat sehenti yang memenuhi pelbagai keperluan komuniti.

“Menariknya masjid ini, ia mengumpulkan beberapa koleksi bahan yang sudah ditemukan atau bahan lama seperti porselin, al-Quran dan kitab yang sangat berharga, menjadi perhatian generasi akan datang,” katanya kepada Media Selangor.

Pada lawatan berkenaan, Amirudin turut mengundang Habib Hassan bersama pengurusan masjid untuk menghadiri Festival Turath Islami Selangor (FITS) anjuran Kerajaan Negeri yang dijadual berlangsung pada September ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan buku ilmu turath kepada Habib Hassan Al Attas di Masjid Ba’alwie ketika lawatan rasmi ke Singapura selama tiga hari di bawah program S R Nathan Fellowship pada 8 Jun 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Festival Turath Islami Selangor (FITS), yang dianjurkan setiap tahun sejak 2023, bakal menghimpunkan cendekiawan Islam daripada pelbagai disiplin ilmu, termasuk bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Juma'ah pada tahun ini.

Berdasarkan rekod, edisi sulung festival itu berjaya menarik kira-kira 5,000 pengunjung, manakala penganjuran tahun lalu mencatat lonjakan ketara dengan kehadiran hampir 30,000 peserta dari dalam dan luar negara.

FITS bukan sekadar platform wacana atau forum ilmiah, sebaliknya menawarkan pengalaman menuntut ilmu secara talaqqi, iaitu kaedah pengajian bersanad yang jarang diperoleh di luar institusi pondok.

Melalui pendekatan itu, peserta berpeluang menadah kitab secara langsung bersama ulama terkemuka serta mendalami ilmu secara bersemuka, sebagaimana tradisi pengajian Islam yang diamalkan sejak dahulu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.