Tapak sisa perobohan di Jalan Tropicana semakin bersih, risiko Aedes dikawal

8 Jun 2026, 11:06 AM
Tapak sisa perobohan di Jalan Tropicana semakin bersih, risiko Aedes dikawal
Tapak sisa perobohan di Jalan Tropicana semakin bersih, risiko Aedes dikawal

SHAH ALAM, 8 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama turun padang meninjau lokasi berisiko pembiakan nyamuk Aedes di Jalan Tropicana, Petaling Jaya pada 4 Jun lalu.

Tinjauan itu dibuat susulan aduan berkaitan sisa perobohan di kawasan berkenaan yang dikenal pasti sebagai antara lokasi berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Jamaliah Jamaluddin berkata, lawatan itu bertujuan melihat perkembangan kerja pembersihan yang dilaksanakan serta berkongsi maklumat terkini kepada penduduk sekitar Bandar Utama 11 mengenai tindakan yang telah diambil pihak berkaitan.

Beliau yang juga EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar berkata, keadaan tapak kini menunjukkan perubahan positif selepas sebahagian besar sisa perobohan dibersihkan.

“Alhamdulillah, keadaan tapak kini menunjukkan perubahan positif dengan sebahagian besar sisa perobohan telah dibersihkan dan kawasan yang menjadi kebimbangan penduduk semakin terkawal,” katanya menerusi Facebook.

Dalam perkembangan sama, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan kerja pembersihan di Zon D dan Zon E tapak berkenaan telah dimulakan sejak 22 Mei lalu.

Menurut MBPJ, kerja pembersihan itu dijangka selesai hujung minggu ini selepas operasi berterusan dijalankan di kawasan terbabit.

Pihak berkuasa itu turut memaklumkan 1,000 tan sampah dikeluarkan hasil kerja pembersihan yang dilaksanakan setakat ini.

Sementara itu Jamaliah berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan di lokasi berkenaan bersama MBPJ, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) serta agensi berkaitan bagi memastikan isu berbangkit dapat ditangani.

“Pemantauan ini dilakukan agar isu kebersihan, keselamatan awam dan pencegahan denggi dapat ditangani dengan sebaiknya,” katanya.

Lawatan tersebut turut disertai wakil MBPJ, JPNS serta penduduk sekitar Bandar Utama 11 yang mengikuti perkembangan kerja pembersihan di kawasan berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.