Wakil rakyat Bandar Utama santuni mangsa kebakaran Kampung Chempaka

18 Apr 2026, 7:28 AM
Wakil rakyat Bandar Utama santuni mangsa kebakaran Kampung Chempaka

SHAH ALAM, 18 APRIL: Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin turun padang meninjau lokasi kebakaran di Jalan PJU1/21 dan Jalan PJU1/23, Kampung Chempaka, kelmarin.

Beliau berkata kejadian sekitar jam 6.40 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kematian atau kecederaan, dengan semua mangsa dilaporkan selamat.

“Berdasarkan maklumat awal, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dan semua mangsa berada dalam keadaan selamat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin menyantuni penduduk terjejas kebakaran di Jalan PJU1/21 dan Jalan PJU1/23, Kampung Chempaka, Petaling Jaya pada 18 April 2026. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin

Dalam pada itu, Jamaliah menzahirkan rasa simpati terhadap penduduk yang terjejas dan memaklumkan pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat disalurkan.

“Saya menzahirkan rasa simpati terhadap mereka yang terjejas akibat kejadian ini dan pejabat saya sedang mendapatkan maklumat lanjut berkenaan keadaan kesemua mangsa serta bentuk bantuan yang diperlukan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada komuniti setempat yang tampil membantu serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, khususnya Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, atas tindakan pantas mengawal kebakaran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.