Kes denggi turun, Selangor terus perketat langkah pencegahan

5 Sep 2026, 4:16 AM
Kes denggi turun, Selangor terus perketat langkah pencegahan

SHAH ALAM, 5 SEPT: Penurunan kes denggi mingguan di Selangor belum boleh dianggap melegakan apabila jumlah keseluruhan kes dan kematian akibat penyakit itu masih membimbangkan.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata langkah kawalan dan pencegahan perlu terus diperkukuh, selain memerlukan kerjasama masyarakat bagi mengekang penularan denggi.

“Usaha membanteras denggi ini tidak boleh bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata. Setiap daripada kita perlu mempunyai peranan untuk memastikan rumah dan kawasan persekitaran sentiasa bersih.

"Hapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes, serta meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa kawasan sekitar kediaman,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Negeri Selangor semalam bagi meneliti situasi semasa kes serta membincangkan langkah kawalan dan pencegahan yang perlu diperkukuh.

Dalam pada itu, Jamaliah menggalakkan orang ramai mengambil langkah perlindungan kendiri seperti menggunakan penghalau nyamuk, memasang jaring atau skrin pada pintu dan tingkap serta mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala demam denggi.

“Pencegahan bermula daripada diri kita sendiri, dan hanya melalui kerjasama semua pihak kita dapat mengurangkan risiko penularan denggi serta melindungi keluarga dan komuniti kita,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.