SHAH ALAM, 8 JUN: Orang ramai kini boleh menjelaskan cukai taksiran menerusi program kitar semula Trash To Cash yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bermula 1 Jun hingga 31 Disember depan.
MPAJ memaklumkan inisiatif itu bertujuan menggalakkan penduduk mengamalkan kitar semula dengan menukarkan barangan terpakai kepada kredit bayaran cukai taksiran.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, program berkenaan melibatkan tiga fasa utama iaitu penduduk membawa barangan kitar semula ke lokasi ditetapkan, bahan tersebut dinilai mengikut harga pasaran semasa dan hasil jualan dikreditkan terus ke akaun cukai taksiran peserta.
"Penduduk yang membawa barangan kitar semula hendaklah berdaftar sebagai pembayar cukai taksiran di kawasan MPAJ serta mempunyai nombor akaun cukai taksiran bagi memudahkan urusan kredit bayaran," katanya menerusi Facebook.
MPAJ berkata lokasi program akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform media sosial rasminya.
Program itu dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ bagi menyokong usaha mewujudkan komuniti yang lebih bersih serta mengurangkan jumlah sisa dihantar ke tapak pelupusan.
"Bersama-sama kita mewujudkan komuniti yang lebih bersih, ekosistem yang lebih lestari dan mengurangkan sisa ke tapak pelupusan selaras dengan RS-1 Selangor," maklumnya.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ di talian 03-4285 7390.







