SHAH ALAM, 8 JUN: Kerajaan Negeri kini di peringkat akhir memperkukuh mekanisme pelaksanaan larangan beg plastik sekali guna bagi memastikan rakyat dapat menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.
EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Selangor dalam mengurangkan pencemaran plastik yang semakin memberi tekanan kepada alam sekitar.
Menurutnya, pelaksanaan dasar itu penting bagi membentuk amalan penggunaan yang lebih lestari serta menjamin kesejahteraan generasi akan datang.
“Kerajaan Negeri kini berada di peringkat akhir memperkukuh mekanisme pelaksanaan dasar berkaitan penggunaan beg plastik sebagai persediaan ke arah pelaksanaan larangan penggunaan beg plastik sekali guna.
“Pendekatan ini bertujuan memastikan rakyat Selangor bersedia dan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang diperlukan demi kepentingan generasi akan datang,” katanya sempena Hari Lautan Sedunia 2026 hari ini.
Beliau berkata lautan memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia kerana bukan sahaja menjadi sumber makanan, malah menyokong aktiviti ekonomi dan menjadi habitat kepada pelbagai spesies hidupan marin.

Namun, katanya, ekosistem berkenaan semakin terdedah kepada ancaman pencemaran, khususnya akibat penggunaan plastik sekali guna yang tidak terkawal.
“Plastik yang digunakan hanya beberapa minit boleh mengambil masa ratusan tahun untuk terurai. Lebih membimbangkan, sisa plastik yang memasuki sungai dan laut akan pecah menjadi mikroplastik yang akhirnya boleh memasuki rantaian makanan manusia.
“Pencemaran ini bukan sahaja mengancam hidupan marin malah memberi kesan langsung kepada kesihatan awam dan kelestarian sumber makanan negara,” ujarnya.
Jamaliah berkata Selangor telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, termasuk menerusi Kempen Bebas Plastik Negeri Selangor yang melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.
Katanya, kempen itu memberi fokus kepada peningkatan kesedaran awam melalui program pendidikan, aktiviti kitar semula serta galakan kepada peniaga dan pengguna untuk mengurangkan kebergantungan kepada beg dan bekas plastik.
Beliau berkata perubahan tabiat harian masyarakat memainkan peranan penting dalam usaha memelihara alam sekitar dan mengurangkan pencemaran.
“Setiap tindakan kecil seperti membawa beg guna semula, mengasingkan sisa untuk dikitar semula dan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna mampu memberi impak besar kepada pemuliharaan laut serta alam sekitar.
“Laut yang bersih hari ini adalah warisan yang akan kita tinggalkan kepada generasi akan datang,” katanya.








