KUALA LUMPUR, 8 JUN: Novel terbaharu bertajuk 'Intai' mengajak pembaca menyelami persoalan di sebalik sesuatu kejahatan menerusi genre psychological thriller yang mengetengahkan sisi kemanusiaan, hubungan serta ketahanan dalam menghadapi cabaran hidup.
Penulisnya, Khairulnizam Bakeri berkata karya berkenaan mengisahkan pembunuhan seorang chef antarabangsa oleh isterinya yang merupakan seorang doktor Malaysia bertugas di Dublin, Ireland.
Menurut beliau, meskipun berpaksikan elemen pembunuhan dan misteri, novel itu turut meneroka pelbagai isu lain termasuk hubungan suami isteri, kecurangan serta cabaran menamatkan perkahwinan Muslim di luar negara.
Khairulnizam berkata pendekatan penceritaan yang digunakan berbeza daripada kebanyakan karya misteri apabila identiti pembunuh didedahkan sejak awal cerita.
"Saya lebih suka meneroka soalan kenapa. Ada sesetengah pengarang yang sangat mahir menulis contohnya ada kematian dan pada hujung novel tu kita akan tahu siapa yang bunuh. Siapa baca Intai ni, first scene tu ialah the murder scene. So kita dah tahu dah siapa yang bunuh. It's a clear cut case," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), semalam.
Khairulnizam berkata idea menghasilkan Intai turut dipengaruhi pengalaman peribadinya ketika menetap di Dublin selama setahun, yang kemudian dijadikan latar utama penceritaan.
Beliau menjelaskan pendekatan penulisannya menggabungkan suasana moden dan urban dengan penggunaan bahasa Melayu yang masih mengekalkan unsur sastera.
"Walaupun set up nya moden, saya masih lagi mengekalkan unsur sastera bahasa Melayu tinggi. Sebab idola dan juga rujukan penulisan saya masih lagi sasterawan negara selain daripada pengkarya barat," tambahnya.
Tambah beliau, faktor manusia menjadi elemen paling penting dalam penghasilan novel berkenaan kerana setiap tindakan mempunyai sebab tersendiri yang sering dipengaruhi tekanan dan cabaran hidup.
"Human is at his worst apabila berhadapan dengan cabaran yang kita sendiri tak tahu kita boleh hadapi ataupun tidak. So saya rasa faktor manusiawi tu penting bagi saya bila menulis. I think mesejnya ialah untuk kita memahami setiap tindakan manusia tu ada sebab," katanya.

Khairulnizam menambah karya ketiganya itu turut membawa mesej bahawa setiap individu mempunyai titik ketewasan masing-masing dan masyarakat perlu berusaha memahami sebelum membuat penilaian.
"Semua orang ada titik ketewasan itu dan lebih baik jika kita memahami daripada kita menghakimi. Itu tema yang saya ingin bawa," katanya.
Selain itu, beliau meneruskan tema yang sering diketengahkan dalam karya terdahulu iaitu menampilkan watak wanita yang kuat dan tabah, namun tetap mengekalkan sifat lembut serta anggun.
"Saya rasa watak lelaki yang kuat yang boleh menghadapi cabaran tu dah biasa. So because people expect men to be strong and relentless tapi watak wanita yang kuat tapi masih lagi anggun dari segi sifat dan lembut menghadapi cabaran yang paling berat. Saya suka capture itu dalam buku saya," katanya.
Novel 'Intai' kini boleh diperoleh menerusi platform dalam talian dan dijangka memasuki rangkaian kedai buku utama di seluruh negara dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.










