Dari Jempol ke Kuala Lumpur, demi cinta terhadap buku

7 Jun 2026, 10:00 AM
Dari Jempol ke Kuala Lumpur, demi cinta terhadap buku
Dari Jempol ke Kuala Lumpur, demi cinta terhadap buku
Dari Jempol ke Kuala Lumpur, demi cinta terhadap buku

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Seorang pelajar dari Negeri Sembilan sanggup bangun seawal jam 4 pagi dan menaiki beberapa pengangkutan awam semata-mata mahu menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Nur Hanniffah Huda, 15, berkata beliau keluar rumah selepas Subuh sebelum bertukar beberapa pengangkutan dari Jempol ke Seremban dan Kuala Lumpur bersama rakan sekolah bagi mendapatkan novel kegemaran.

"Saya sendiri suka buku. Saya mula membaca sejak 2020. Sebenarnya saya baru tahu pesta buku ini. Sebelumnya saya pernah datang. Saya rasa pesta buku ini memang menarik. Memang banyak saya beli buku di sini," katanya ketika ditemui Media Selangor.

Sementara itu, guru dari Krubong, Melaka, Nur Farahin Norisham, 29, berkata beliau datang ke ibu negara khusus untuk menghadiri PBAKL 2026 berikutan pelbagai pilihan buku dan promosi menarik ditawarkan.

“Ini kali kedua saya datang dan saya memang suka sebab di sini ada pelbagai pilihan buku termasuk buku kanak-kanak, pelbagai bahasa dan buku terjemahan. Saya juga minat buku terbitan Tentang Kita sebab banyak beri motivasi,” katanya.

Bagi pengurus syarikat swasta dari Kota Damansara, Petaling Jaya, Naufal Tarmizi, 38, pula, beliau tidak akan melepaskan peluang membawa keluarga ke pesta buku bagi memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak.

“Setiap kali ada pesta buku saya memang akan datang bersama keluarga sebab saya nak didik anak-anak suka membaca.

“Saya sarankan ibu bapa di luar sana bawa anak-anak datang ke PBAKL sebab memang banyak manfaat,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.