SHAH ALAM, 8 JAN: Novel kisah sengsara wanita Palestin di tangan tentera Israel, yang menerima anugerah berprestij LiBeraturpreis sempena Pesta Buku Frankfurt pada 2023, diterbitkan bawah projek penterjemahan Kerajaan Selangor.
Tafsil Thanawi (2017) karya Adania Shibli sering mendapat pujian pengulas sastera dan dicalonkan untuk anugerah besar Booker Prize diterjemah dengan judul Perincian oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).
Novel menarik ini diterjemah kepada beberapa bahasa seperti Inggeris, Perancis, Jerman dan Indonesia tetapi anugerah di Jerman ditunda dengan alasan perang Palestin-Israel Oktober dua tahun lalu.
Menerima geran Kerajaan Negeri, IBDE yang bekerjasama dengan Media Selangor Sdn Bhd terkenal dengan terjemahan berkualiti karya penting dalam bidang agama, falsafah, sejarah, politik, sains, sastera dan budaya.
"Penjajahan (Israel) membuatkan tiada sesiapa mengetahui kebenaran peristiwa kejam itu. Dia ditahan, diheret, dirogol dan seterusnya dibunuh. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1949 di padang pasir Negev," kata IBDE.
Setebal 144 halaman, novel ini diterjemah ketua editor IBDE Al-Mustaqeem M Radhi dan Abdul Jabbar Md Salleh, penterjemah kitab agama dan juga sejarah.
Karya itu boleh didapati di kedai Rencana di Sri Damansara, Petaling Jaya. Novel ini mula dijual di Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2025 di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 29 Januari hingga 2 Februari 2025.
Buku ini juga boleh dibeli melalui www.bukuibde.com atau Tiktok, Shopee dan Lazada: Buku IBDE.
[caption id="attachment_681181" align="aligncenter" width="570"] Novel Perincian terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Foto Facebook Buku IBDE[/caption]