Oleh Johan Radzi
Membaca Nautilius ibarat mengambil kereta Grab dan bersiar-siar keliling ibu kota pada waktu malam dengan kepala yang terisi kokain, barangkali tiada cara lain untuk menjelaskan karya itu. Ia sekali gus pelik, lucu, ajaib sarat melankolia serta memperkenal kita kepada pengalaman manusiawi yang dibentang jauh ke hujung titik ekstrem indrawi. Tiada graviti di dalam buku ini, segalanya mengalir bawah sedar, laksana lalu lintas KL yang tiada putus-putus.
Nautilius ialah karya terbaru WNA yang diterbitkan tahun ini. Sejenak membuat carian Google selama 0.2 saat memaparkan imej cengkerang laut yang purba, sepurba kesedaran insani kita, yang bergentayang di lapis dasar samudera-samudera terbesar dunia. Di dalam bahasa asalnya greek nautilos ia bermaksud juragan atau kelasi, lelaki yang mengemudi kapal di atas lautan.
Enrique yang mewakili watak utama menyandang peran itu tetapi dia mengemudi bukannya bahtera tetapi kereta, bukan pula di atas lautan bergulung tetapi jalan aspal yang membawa kita kepada ceritera-ceritera ibu kota yang tak lekang menakjubkan.
Saya harus bermula dengan satu kaveat sebelum menuliskan ulasan ini - saya kenali WNA secara peribadi, jadi sedikit-sebanyak perkara ini mewarnai tanggapan saya ke atas Nautilius. Untuk itu juga saya harus memohon maaf kepada hantu Barthes serta walabarthes lokal yang gemar memetiknya dalam simposium bahawa: je suis desole monsieur, mais les authors ne mort pas (saya harus mohon maaf kali kedua, Perancis bukanlah lidah ibunda saya). Dengan itu saya melanjutkan bicara.
Nautilius, kata WNA, merupakan karya yang sangat akrab kepada peribadinya. Saya memahami. Enrique seorang pemandu e-panggilan yang bekerja menjemput penumpang di ibu kota KL. Dia berasal dari Melaka, menerusi susur galur yang agak kabur:
"Enrique siapa? Namanya tidak ada sebarang makna. Kulitnya tidak ada sebarang warna. Nelayan Bugis mana entah kutipnya dengan jala di Tanjung Kling bersama ikan-ikan berwarna biru."
Dia diasuh oleh tiga keluarga iaitu Melayu (Haji Bachee), Baba (Uncle Colin) dan India (Mudaliar Nadarajanz) - justeru juga yang menjadi punca kekeliruan dirinya dalam acuan negeri Melaka. Enrique sangat fasih sejarah Melaka dan sekilas pandang laksana seorang nerd yang bergelumang antara buku dan hikayat, meskipun dia tiada ketahuan langsung akan salasilah peribadi sendiri. Dua perkara ini boleh disambungkan kepada pengalaman peribadi WNA: 1) supir grab; dan 2) lembaga kajian sejarah Melaka. Dua faktor ini memicu Nautilius.
Terdapat sepuluh bab tersusun, tetapi anda boleh menyelak mana-mana halaman di dalam buku ini dan membacanya sekali lalu. Anda tidak akan terlepas sebarang cerita. Setiap bab dimulakan dengan Enrique berasa dahaga lalu dinoktahkan dengan "Enrique berasa selamat", di sela itu kejadian-kejadian yang menjegil mata berlaku.
Saya kira, babak-babak grab ini sudah tentu dicuplik scara langsung daripada pengalaman peribadi WNA. Daripada menjemput penumpang, melayani gelagat mereka sehingga ke sudut-sudut ibu kota dan fiil supir lain yang seangkatan mencoraki hala tuju fiksyen ini. Kita dihiburkan dengan perbualan rambang yang berlaku antara Enrique dan penumpang (seorang remaja India berbadan tinggi dan berjaket Adidas merah yang berceloteh dan pensyarah berbangsa Belanda yang memberi syarahan sambil beraksi lucah) serta pertembungan dengan migran (serta sikap rasisme) yang membentuk Kuala Lumpur yang kita kenali masa kini.
Meskipun plot berpusat di ibu kota, lautan tidak pernah lekang daripada Nautilius. Ia tersergam di belakang tabir, sihirnya menyelinap masuk sekali-sekala ke alam darat (atau secara spesifik, ke sanubari Enrique?) Kita menyaksikan "tubuh-tubuh sotong dibasahi kuning air" yang muncul entah dari mana, dibasuh oleh pekerja bandaran berhampiran sebuah sekolah. Kita juga menyaksikan "ketam. Berpuluh-puluh ekor jatuh melimpah ke lantai" setelah doktor membelah perut Haji Bachee yang kembung. Hidupan lautan juga timbul ketika "Januari menyeluk tangan ke dalam saku tepi jaket Armani birunya. Januari terperanjat. Basah. Dia rasa sesuatu yang licin. Dia menarik keluar seekor ikan kembung."
Layar yang memisahkan dunia darat dan laut kelihatan begitu nipis, ada kalanya ia menembusi jagat fikirasa kita.
Selepas membaca Nautilius, saya membeleki semula D.U.B.L.I.N (2014) dan saya sedari terdapat satu perkembangan keperibadian WNA sebagai pengarang menyusuri novel-novelnya. Bagaikan langit dan bumi. Jarak masa dua buku ini adalah 11 tahun, dan mungkin penting untuk dinyatakan bahawa D.U.B.L.I.N merupakan pemenang pertama anugerah HSPM. Ia diiktiraf kerana bentuknya yang luar biasa, plotnya yang bukan lurus, serta penerokaan terhadap sastera antarabangsa dan tradisi berjalan - menyegarkan ketimbang pekikan novel-novel bernada peribumisme yang melelahkan. Karya ini bersifat intelektual dengan adunan yang tersendiri. Pun begitu, segala kehebatan novel sulung ini tidak tercitra di hasil tangan WNA terkini. Sesuatu sedang memudar.
Sejak Soneta Roda Basikal (2015), fokus WNA kembali ke dalam tubuhnya. Ia tidak lagi keluar melompat dari satu minda sasterawan ke satu minda sasterawan lain. Ia tidak lagi berjalan kaki ke sudut-sudut kota yang terpencil baik di Dublin mahupun di Kuala Lumpur. Selepas Soneta Roda Basikal, WNA memasuki tubuhnya serta masa silam, direncahi dengan kejadian-kejadian magikal yang terpaksa membuat anda membaca dua kali. Soneta Roda Basikal laksana membaca karya benih Proust dan Dali jika mereka bersenggama. Ia bersifat introspektif, tetapi juga penuh ajaib. Logika tiada peranan di sini. Kekadang kita terbayang sekiranya beginilah WNA menyaksikan dunia di depannya. Ini turut diikuti oleh karya-karya selanjutnya baik novel mahupun cerpen.
Tetapi Nautilius... berbeza. Ia semacam suatu penyimpangan. Ia bersifat introspektif, juga membawa keajaiban-keajaiban yang lazim di dalam karya WNA. Tetapi ia juga vulgar. Ia semacam ditulis di dalam emosi marah meluap, suatu pengisytiharan dendam terhadap ibu kota dan segala isi penduduknya (banyak kisah orang mati terselit di celah perenggan). Enrique ditekan kerana orang menganggapnya warga asing. Beberapa kali juga supir kita diganggu atau dicerca di jalanan - ibarat seseorang yang ditekan habisan oleh kondisi hidup (adakah kerana dia berbeza? Enrique sendiri resah kerana tidak tahu letak-duduknya di dalam suatu dunia yang serba rumit). Xenofobia, seksisime, juga masturbasi berawangan. Nautulius mengandungi tenaga yang tidak tercermin pada karya-karya sebelum. Untuk sebilangan orang ini mungkin meloyakan. Tetapi ia liar. Cerminan secara langsung ke intisari jiwa yang terseksa, nun jauh daripada habitat asli.
Pengalaman dewasa ini mungkin memangkin WNA untuk menyerap tenaga gelap ini, lalu dituang ke dalam Nautilius. Di dalam D.U.B.L.I.N., Encik H gemar berjalan kaki. Di dalam Soneta Roda Basikal, Poe Mahadi mengayuh basikal. WNA memajukan wadah transportasi dengan memandu kereta. Nampaknya WNA sukakan pergerakan. Tetapi setelah berjalan, mengayuh, dan menjadi penumpang, ke mana alamat akhir yang bakal dibawa? Atau adakah seperti pepatah purba - perjalanan itu sendirilah suatu tujuan?