ad
AGENDA

Novel Harry Potter edisi pertama dilelong hampir RM100,000

9 Feb 2025, 6:09 AM
Novel Harry Potter edisi pertama dilelong hampir RM100,000

LONDON, 9 FEB: Sebuah edisi pertama novel sulung JK Rowling, "Harry Potter and the Philosopher’s Stone" dilelong pada harga £18,000 (RM99,165.33) dalam satu sesi lelongan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Naskhah itu merupakan satu daripada 500 salinan pertama yang dicetak pada 1997, dijual pada Sabtu oleh NLB Auctions yang berpangkalan di Paignton, Devon.

Buku itu mempunyai kesilapan ejaan pada bahagian belakang kulit buku bagi perkataan "Philosopher’s" serta kesilapan dalam senarai peralatan di halaman 53, di mana “1 wand” disenaraikan dua kali.

Walaupun dijangka terjual pada harga antara £20,000 hingga £30,000, buku itu akhirnya dibida pada harga £18,000.

Pihak lelongan menggambarkannya sebagai “contoh baik bagi edisi pertama yang amat jarang ditemui” dengan sedikit kesan penggunaan.

Ia juga merupakan satu daripada 300 edisi perpustakaan, berdasarkan cop perpustakaan pada halaman tajuk serta tanda kad slip perpustakaan.

Ketika diterbitkan, hanya sejumlah kecil salinan dicetak kerana penerbit masih ragu-ragu mengenai potensi kejayaan buku berkenaan.

Siri Harry Potter mengandungi tujuh buah novel dan diadaptasi menjadi filem pecah panggung, akhirnya menjadi antara karya paling popular di dunia.

Pada Jun tahun lalu, sebuah edisi pertama buku ini dilelong pada harga £45,201, manakala satu salinan berkeadaan sempurna berjaya dijual pada harga £69,000 pada Mac 2022.

-BERNAMA-dpa

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.