SHAH ALAM, 7 JUN: Polis masih mengesan individu berjubah gelap yang dipercayai menceroboh sebuah rumah dan melarikan pakaian yang dijemur di Taman Cheras Indah di Ampang Jaya.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat berhubung kejadian itu.
"Buat masa ini belum ada tangkapan dan siasatan lanjut giat dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes itu mendapat perhatian selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan seorang individu memanjat pagar sebelum memasuki kawasan rumah dan mengambil pakaian jemuran tular di media sosial.
Menurut Khairul Anuar, polis mengesan video kejadian berkenaan kira-kira jam 5 petang kelmarin sebelum siasatan lanjut dijalankan.
Susulan itu, seorang wanita berusia 31 tahun tampil membuat laporan polis pada hari sama selepas menyedari pakaian yang dijemur di luar rumahnya hilang.
"Pengadu memaklumkan kejadian disedari jam 10 pagi ketika berada di rumah.
"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang individu memakai jubah berwarna gelap memanjat pagar sebelum memasuki halaman rumah dan mengambil pakaian jemuran milik pengadu," katanya.







