SHAH ALAM, 22 JAN: Polis menahan seorang lelaki selepas membakar beberapa motosikal di kawasan Pandan Mewah, Ampang Jaya, Isnin lalu, yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihak polis mengesan video berkenaan jam 9 pagi semalam menerusi pautan media sosial yang memaparkan perbuatan khianat itu.
Menurutnya, kejadian berlaku pada 20 Januari lalu jam 4.21 pagi, membabitkan seorang lelaki yang membakar motosikal di lokasi terbabit.
“Setakat ini, polis menerima enam laporan daripada pemilik motosikal dan rumah yang terjejas akibat kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Susulan itu, polis berjaya menahan suspek pada hari sama, jam 9.41 malam, bagi membantu siasatan.
Khairul Anuar berkata motif tindakan itu masih tidak dapat dipastikan dan suspek dipercayai gelandangan yang kerap menjadikan kawasan sekitar sebagai tempat tidur.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda.


