AMPANG JAYA, 20 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengesahkan tiada sebarang pergerakan atau gelinciran tanah baharu berlaku di Jalan Saga 17, Taman Bukit Teratai, susulan kejadian sistem saliran paip bawah tanah pecah, Ahad lalu.
Timbalan Yang Dipertuanya Ts Hasrolnizam Shaari memaklumkan kejadian itu bukan akibat tanah runtuh atau kegagalan cerun, tetapi limpahan air daripada sistem paip utiliti yang patah atau terputus, sekali gus menyebabkan hakisan permukaan tanah di kawasan berkenaan.
Jelasnya, pihaknya sudah mengarahkan pihak syarikat utiliti terlibat iaitu Indah Water Konsortium (IWK) untuk mengambil tindakan segera dengan menghentikan aliran air dalam saluran terlibat supaya tidak terus menimpa kawasan terjejas.
“Kita juga minta mereka segera menutup permukaan yang terdedah dan ia akan dipantau dari semasa ke semasa supaya sentiasa diperkemaskan.
“Kita minta juga jika ada aliran tanah yang berlaku (ketika gelinciran) yang menutup saluran atau memasuki kawasan kediaman di bahagian bawah dibersihkan segera. Alhamdulillah semua tindakan segera dibuat pada petang hari sama,” katanya ditemui selepas melakukan tinjauan di kawasan berkenaan hari ini.
Menurutnya, MPAJ juga telah mengeluarkan notis kepada IWK supaya segera menjalankan penelitian terperinci bagi memulihkan sistem infrastruktur yang patah atau terputus, selain menyediakan perancangan serta melaksanakan kerja pembaikan menyeluruh di lokasi terjejas.

“Setakat ini kita difahamkan pihak pengurusan tertinggi syarikat utiliti berkenaan telah membuat pemerhatian lebih teliti dan kita masih menunggu maklum balas secara rasmi daripada mereka berhubung tindakan yang akan dibuat.
“MPAJ akan terus memantau supaya kita dapat pastikan kerja memulihkan balik kawasan ini dapat dibuat segera dan disempurnakan kepada keadaan sepatutnya dalam waktu cepat.
“Mereka telahpun bersedia tapi perincian tindakan masih dalam penelitian akhir. Mungkin dalam sehari dua ini kita dapat maklum balas secara rasmi berhubung bentuk pembaikan yang akan dibuat termasuklah tempoh kerja,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian dan pengalaman MPAJ dalam menguruskan kes seumpama itu, kawasan terjejas perlu diperkemaskan semula berikutan berlakunya hakisan dan pembaikan yang dilaksanakan berkemungkinan memerlukan penggunaan struktur binaan yang lebih kukuh, bukan sekadar kerja menambak tanah.
Sehubungan itu, MPAJ memberi ruang kepada syarikat utiliti terlibat untuk mencadangkan kaedah pembaikan paling sesuai, termasuk kemungkinan penggunaan cerucuk besi, kepingan keluli atau struktur sokongan lain dengan mengambil kira kekangan tapak.
“Kita bagi ruang kepada pihak syarikat utiliti berkenaan untuk mencadangkan dan mengenalpasti kaedah terbaik. Mungkin daripada segi penggunaan sheet pile atau struktur binaan lain.
“Tapi yang penting adalah kerja tersebut dapat memastikan tahap kestabilan dan kaedah yang akan digunakan cepat dan siap segera,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, satu kejadian gelinciran tanah setinggi kira-kira 20 kaki dilaporkan berlaku di Taman Bukit Teratai, Ahad lalu.
MPAJ memaklumkan hasil pemeriksaan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada saliran paip bawah tanah milik IWK yang pecah.






