CYBERJAYA, 8 JUN: Kerajaan Negeri Selangor merancang untuk menyatukan pelbagai aplikasi sedia ada ke dalam aplikasi super negeri, NINE, yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kerajaan, termasuk pembayaran cukai taksiran, cukai tanah dan caj parkir bagi memudahkan urusan rakyat.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, penggunaan aplikasi mudah alih kini menjadi keperluan asas dalam kehidupan moden, malah pelbagai institusi termasuk bank dan syarikat insurans turut mempunyai lebih daripada satu aplikasi.
Menurutnya, keadaan itu bagaimanapun boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.
“Kita memahami bahawa di peringkat Selangor ketika ini terdapat pelbagai aplikasi yang berbeza, termasuk sistem aplikasi yang dibangunkan oleh setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Justeru, kita berharap dapat mengurangkan jumlah aplikasi dan menyatukannya secara berperingkat. Namun proses ini memerlukan tempoh peralihan dan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam masa singkat,” katanya dalam wawancara khas bersama Selangor Media, baru-baru ini.

Beliau berkata, hala tuju kerajaan negeri adalah menjadikan NINE sebagai aplikasi super selepas proses integrasi selesai dilaksanakan.
Menurutnya, aplikasi itu bukan sahaja merangkumi perkhidmatan pembayaran pelbagai agensi kerajaan, malah akan diperluaskan bagi menempatkan pelbagai inisiatif kebajikan kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri juga merancang untuk mendigitalkan pelbagai program kebajikan secara berperingkat supaya bantuan dan manfaat berkaitan dapat disalurkan serta diuruskan melalui platform NINE,” katanya.
Ng berkata, aplikasi NINE telah pun dilancarkan dan sedang beroperasi dengan menawarkan beberapa perkhidmatan kepada pengguna.
Katanya, fungsi aplikasi itu akan terus diperkasa dan ditambah baik berdasarkan keperluan rakyat, namun tiada tempoh masa khusus ditetapkan bagi melengkapkan keseluruhan proses pembangunan tersebut.

“Pembangunan ini akan dilaksanakan secara berfasa,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa beberapa aplikasi sedia ada seperti SElangkah dan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) dijangka akan disepadukan ke dalam platform NINE pada masa akan datang.
Selain itu, inisiatif baharu dan bantuan kebajikan negeri, termasuk subsidi pengangkutan awam RM30, turut akan disalurkan serta diuruskan menerusi aplikasi berkenaan.
Sebelum ini, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan bahawa Program Subsidi Pengangkutan Awam di bawah Pakej Pengukuhan Ketahanan Selangor mula dibuka untuk permohonan pada 1 Jun lalu.
Melalui program itu, penduduk Selangor yang layak boleh memohon dan menikmati subsidi pengangkutan sebanyak RM30 sebulan selama enam bulan menerusi aplikasi NINE.







