Selangor giat kenal pasti jurang pengangkutan awam, akan libatkan semua pengendali

23 Jun 2026, 8:42 AM
Selangor giat kenal pasti jurang pengangkutan awam, akan libatkan semua pengendali
Selangor giat kenal pasti jurang pengangkutan awam, akan libatkan semua pengendali

SHAH ALAM, 23 Jun: Kerajaan Negeri Selangor sedang mengenal pasti jurang dalam rangkaian pengangkutan awam sebagai sebahagian usaha memperkukuh kesalinghubungan perjalanan pertama dan terakhir (first and last mile connectivity), sekali gus mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap kenderaan persendirian.

Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan mengadakan libat urus dengan semua pengendali pengangkutan termasuk syarikat bas dan penyedia Transit Responsif Permintaan (DRT) seperti Bas Smart Selangor serta Prasarana bagi mengenal pasti kelemahan liputan dan integrasi perkhidmatan.

“Kita dapat melihat dengan jelas di mana jurang yang wujud dan perkara itu perlu ditangani oleh para pengendali. Kerajaan negeri akan menyediakan subsidi bagi menyokong usaha tersebut.

“Namun, jika pengendali terus menjalankan perkhidmatan dengan jurang yang masih wujud, ia tidak banyak membantu kerana orang ramai tetap akan memilih kenderaan persendirian.

“Semuanya bergantung kepada aspek kebolehcapaian dan masa. Rakyat memerlukan sistem pengangkutan yang sesuai dengan rutin harian mereka sama ada untuk ke tempat kerja atau sekolah,” katanya.

Projek LRT 3 akan menghubungkan kawasan antara Bandar Utama di Petaling Jaya dan Johan Setia di Klang. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Amirudin mengakui pengguna akhirnya akan beralih kepada kenderaan persendirian sekiranya pengangkutan awam terus dianggap tidak praktikal dan menyusahkan.

“Ia bukan sekadar soal kos. Ia berkaitan masa, sama ada perjalanan itu praktikal dan sesuai dengan jadual harian rakyat,” katanya.

Beliau menambah kerajaan negeri turut meneliti penambahbaikan menyeluruh bagi meningkatkan integrasi antara pelbagai mod pengangkutan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menutup jurang kesalinghubungan di seluruh Selangor.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.