CYBERJAYA, 7 JUN: Kerajaan Negeri Selangor akan terus memainkan peranan menyokong, mempromosi dan menghebahkan perkhidmatan Respons Permintaan Transit (DRT) bagi meningkatkan kesedaran orang ramai sekali gus menggalakkan penggunaan mod pengangkutan awam tersebut.
Sehubungan itu, kerajaan negeri bakal mengagihkan subsidi pengangkutan awam berjumlah RM30 seorang pada Jun ini menerusi aplikasi NINE khusus untuk kegunaan perkhidmatan DRT.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata, kepelbagaian perkhidmatan DRT harus berkembang bagi memupuk ekosistem pengangkutan awam yang dinamik dan kompetitif.
Justeru, beliau mengalu-alukan penyertaan mana-mana syarikat swasta yang berminat untuk bersama-sama memperluaskan rangkaian perkhidmatan berkenaan.
"Secara jujurnya, jika Kerajaan Negeri Selangor mengendalikan sendiri perkhidmatan DRT, ia mungkin tidak mencapai tahap seperti Rapid KL.
“Ini kerana Rapid KL sebagai anak syarikat di bawah agensi pengurusan sistem pengangkutan awam mempunyai kelebihan yang lebih besar dari segi pengalaman operasi dan kesempurnaan sistem," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Media Selangor baru-baru ini.

Beliau menegaskan bahawa sejak peringkat awal lagi, kerajaan negeri tidak mengendalikan perkhidmatan DRT secara langsung atau monopoli, sebaliknya menyerahkan pelaksanaannya kepada pihak operator ketiga.
Untuk rekod, projek rintis DRT Kerajaan Negeri Selangor telah dilaksanakan di lapan wilayah di negeri itu bermula November 2023 sehingga Julai 2024.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, perkhidmatan DRT Rapid KL beroperasi di 87 kawasan sekitar Lembah Klang melibatkan 237 buah van, dengan purata penumpang mencecah 18,000 orang sehari.
Elak pertindihan Pas My50
Mengulas lanjut mengenai subsidi RM30 tersebut, Ng Sze Han menjelaskan peruntukan itu dikhususkan untuk penumpang DRT bagi mengelakkan pertindihan skop perkhidmatan dengan pas bulanan tanpa had My50 yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan.
"Satu adalah dasar kebajikan Kerajaan Persekutuan, manakala satu lagi adalah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor. Kami mahu menggunakan peruntukan ini dengan sebaiknya dan mengelakkan pertindihan. Apa yang lebih penting, kami tidak mahu dilihat bersaing dengan Kerajaan Persekutuan," jelasnya.

Menurutnya lagi, mekanisme subsidi RM30 ini menyerupai model subsidi petrol BUDI95, di mana kuota yang tidak dihabiskan pada bulan berkenaan akan ditarik balik secara automatik oleh sistem dan tidak akan dibawa ke bulan hadapan.
"Ini adalah untuk menggalakkan orang ramai memanfaatkan sepenuhnya subsidi tersebut dan membina tabiat menggunakan pengangkutan awam. Oleh itu, mekanisme bawa ke hadapan (carry-forward) tidak digunakan," katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM131 juta bagi pelaksanaan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor, termasuk pemberian subsidi pengangkutan awam RM30 sebulan kepada penduduk selama enam bulan.
Rapid KL sekarang mempunyai 300 buah van DRT yang beroperasi, dengan lebih 200 buah daripadanya berkhidmat di kawasan Selangor.
Hubungan rakan strategik, bukan saingan
Ng Sze Han turut menegaskan bahawa setakat ini kerajaan negeri tidak melantik mana-mana pihak ketiga sebagai operator tunggal DRT. Perkhidmatan sedia ada termasuk Rapid KL beroperasi secara bebas dan tidak menerima subsidi daripada kerajaan negeri.
"Perkhidmatan DRT ini bermula daripada projek rintis Selangor dan kini menunjukkan impak positif. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk terus memacu dan mempromosikan model ini," katanya.

Beliau menambah, projek rintis DRT yang diperkenalkan kerajaan negeri dua tahun lalu tidak bersaing dengan perkhidmatan Rapid On-Demand di bawah Rapid KL. Malah, kedua-dua pihak telah bekerjasama dengan baik selama bertahun-tahun tanpa sebarang pertindihan kawasan perkhidmatan.
"Sistem pengangkutan awam di Malaysia, khususnya di Selangor, tidak sepatutnya dilihat sebagai satu persaingan kerana perkhidmatan sebegini memerlukan subsidi kerajaan untuk terus beroperasi," ujarnya.
Berdasarkan data dan laporan sedia ada, Rapid KL turut mengakui perkhidmatan DRT berkesan dalam mengisi ruang kosong pengangkutan awam, terutamanya dalam memenuhi keperluan mobiliti 'first and last-mile'.
"Ini sebenarnya satu permulaan yang sangat baik, di mana Kerajaan Negeri Selangor menerajui pelaksanaan DRT melalui mod rintis, sebelum ia diambil alih pengoperasiannya oleh Rapid KL dan diperluaskan secara berperingkat," kata Ng.
Transisi bas Smart Selangor kepada EV
Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri Selangor turut mensasarkan sistem pengangkutan awam masa depan beralih kepada tenaga hijau.

Ini termasuk transisi perkhidmatan Bas Smart Selangor daripada bas diesel kepada bas elektrik (EV) secara berperingkat, manakala laluan sedia ada akan mengekalkan operasi atau dioptimumkan mengikut keperluan penumpang setempat.
Kerajaan negeri menyasarkan penggunaan bas elektrik mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang 2028, dan transformasi penuh EV pada tahun 2030.
"Ramai yang bimbang sama ada Selangor mempunyai kemudahan pengecasan EV yang mencukupi. Namun hakikatnya, setakat ini tiada operasi Bas Smart Selangor jenis EV yang terjejas disebabkan isu pengecasan," jelasnya.
Beliau menambah, kawasan seperti Hulu Selangor juga sudah bersedia untuk peralihan bas elektrik, maka tiada alasan untuk kawasan bandar lain tidak boleh memacu transformasi yang sama.
Pemilihan model bas elektrik juga akan disesuaikan mengikut faktor geografi dan keperluan setempat. Misalnya, laluan di kawasan Taman Medan, Petaling Jaya tidak sesuai untuk bas bersaiz kecil, manakala Subang Jaya yang mempunyai liputan laluan yang luas yang boleh menggunakan perkhidmatan bas elektrik bersaiz mini.
Setakat ini, pecahan bas EV mengikut pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor adalah:
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ): 15 buah bas (5 laluan)
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS): 5 buah bas (4 laluan)
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA): 4 buah bas (1 laluan)
Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK): 1 sebuah bas (1 laluan)
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ): 1 sebuah bas (1 laluan)







