Juruteknik maut dalam kemalangan di Jalan Reko

6 Jun 2026, 12:23 PM
Juruteknik maut dalam kemalangan di Jalan Reko

SHAH ALAM, 6 JUN: Seorang pemuda maut selepas motosikal yang dinaikinya hilang kawalan sebelum terjatuh ke laluan bertentangan dalam kemalangan di Jalan Reko, Kajang kira-kira 11.13 semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazroon Abd Yusuf berkata siasatan awal mendapati mangsa, seorang juruteknik berusia 28 tahun dalam perjalanan dari Putrajaya untuk pulang ke rumahnya di Semenyih ketika kejadian.

"Dalam masa yang sama sebuah motokar yang dipandu seorang lelaki warganegara tempatan berusia 52 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-panggilan tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal dan mangsa.

"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal, telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, punca motosikal hilang kawalan dalam siasatan.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi sepuluh tahun, denda maksimum RM50,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu bagi tempoh tidak kurang daripada lima tahun.

Dalam pada itu, beliau menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Insp Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 bagi membantu siasatan.

"Pihak polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mengamalkan pemanduan berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pihak," tegasnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.