Kanak-kanak lima tahun maut kemalangan enam kenderaan di Jalan Kuching

12 Okt 2026, 4:10 AM
Kanak-kanak lima tahun maut kemalangan enam kenderaan di Jalan Kuching

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas kereta dinaikinya terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching dari arah pusat bandar menghala ke Segambut di sini, Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata siasatan awal mendapati kejadian pada 3.44 petang itu berlaku ketika aliran trafik perlahan sebelum kereta jenis Perodua Bezza dipandu bapa mangsa dilanggar dari arah belakang oleh kereta jenis BYD Seal.

"Pelanggaran tersebut turut melibatkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.

"Akibat kemalangan itu, kanak-kanak berkenaan yang berada di tempat duduk penumpang belakang mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zamzuri berkata bapa mangsa yang berusia 30 tahun mengalami kecederaan di tangan kanan, manakala penunggang motosikal berusia 33 tahun cedera di kepala dengan kedua-dua mereka turut menerima rawatan di HKL.

Beliau berkata tiga pemandu kenderaan lain yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya pemandu BYD Seal iaitu lelaki berusia 24 tahun yang meninggalkan lokasi kejadian berjaya dikesan pihak polis dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Damansara akibat kecederaan gegaran otak serta berada di bawah pemantauan pegawai penyiasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai atau saksi kejadian diminta tampil dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.