Polis sahkan dakwaan cubaan culik pelajar di Semenyih adalah palsu

15 Jul 2026, 7:52 AM
Polis sahkan dakwaan cubaan culik pelajar di Semenyih adalah palsu

KAJANG, 15 JULAI: Polis Daerah Kajang mengesahkan dakwaan cubaan culik melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Semenyih adalah palsu selepas siasatan mendapati laporan yang dibuat tidak berasas.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.36 petang semalam daripada pelajar berkenaan yang mendakwa hampir diculik di lorong perumahan Jalan Taman Pelangi, Semenyih.

Bagaimanapun, beliau berkata, hasil siasatan termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kejadian sebenar adalah berbeza daripada laporan yang dibuat.

"Siasatan mendapati laporan itu dibuat kerana pengadu takut dimarahi keluarga selepas terlepas pengangkutan untuk pulang ke rumah sebaik tamat waktu persekolahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, polis membuka satu kertas siasatan terhadap pengadu kerana disyaki memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu kepada penjawat awam. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Naazron berkata, Polis Daerah Kajang memandang serius laporan seumpama itu kerana boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memberikan maklumat yang benar, tepat dan lengkap ketika membuat laporan polis serta mengingatkan bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang membuat laporan palsu atau mengandungi fakta mengelirukan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.