KUALA SELANGOR, 6 JUN: Kerajaan Negeri meluluskan syarikat pemaju baharu sebagai penyelamat bagi meneruskan pembangunan projek Rumah Selangorku di Morib, Kuala Langat.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata keputusan itu dibuat selepas pemaju asal didapati gulung tikar, sekali gus menjejaskan kelangsungan pembangunan perumahan tersebut.

“Bulan lepas kita angkat perkara ini ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan luluskan syarikat penyelamat. Sekarang sudah ada syarikat pemaju yang sanggup untuk ambil alih.
“Projek tersebut mempunyai dua fasa dan sekarang kita fokus kepada Fasa 1 dahulu iaitu projek rumah teres satu tingkat. Fasa 1 kini sudah hampir 85 peratus siap,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran Desa Kerayong Indah atau Kerayong Hills di sini, hari ini.

Menurut beliau, langkah pengambilalihan itu turut memberi kelegaan kepada pembeli, khususnya bagi Fasa 2 yang melibatkan kediaman jenis apartmen, apabila mereka ditawarkan unit rumah teres satu tingkat di Fasa 1 sebagai penyelesaian bagi mengakhiri penantian memiliki kediaman sendiri.
Malah, katanya, tiada bayaran kos tambahan dikenakan kepada pembeli, selain mereka turut bersetuju untuk tidak meneruskan Tuntutan Ganti Rugi Bilangan Hari Terlewat (LAD).
“Fasa 1 sudah 85 peratus siap. Kita bimbang kalau lagi lama, berlaku kehilangan barang-barang dalam rumah. Pembeli juga sanggup tidak tuntut LAD. Setakat ini, kita cuba bantu,” katanya.
Projek Rumah Selangorku Morib di Kuala Langat itu merupakan antara 0.1 peratus projek perumahan mampu milik Kerajaan Negeri yang berdepan masalah sejak beberapa tahun lalu.
Sebelum ini, Dato' Menteri Besar Dato Amirudin Shari dilaporkan berkata Kerajaan Negeri kekal komited mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.







