SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti pemaju baharu untuk mengambil alih dan menyiapkan Projek Rumah Selangorku Pangsapuri Morib Anggun di Kuala Langat yang tergendala sejak beberapa tahun lalu.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, meskipun berdepan situasi kompleks, pihaknya komited mencari penyelesaian menyeluruh bagi projek perumahan mampu milik tersebut.

“Apabila sesuatu projek terbengkalai, ia biasanya melibatkan ‘wira penyelamat’, iaitu syarikat yang sanggup dan mampu mengambil alih. Tetapi tidak semua syarikat mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian.
“Dalam kes Morib, kita masih belum mempunyai penyelesaian menyeluruh. Pemaju asal telah bankrap, menghilangkan diri. Mencari pemaju yang mempunyai kemampuan kewangan dan kesanggupan mengurus semua isu berkaitan adalah sesuatu yang sukar.
“Fokus kami sekarang adalah mencari pemaju yang bersedia mengambil alih dan menyiapkan projek ini,” katanya seperti dilapor The Star.
Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis pelancaran dan penyerahan kunci Rumah Idaman Bukit Jelutong, di sini baru-baru ini.

Menurut Amirudin, sebahagian pembeli telah mempunyai komitmen kewangan dengan bank manakala ada yang membayar deposit, yang semuanya perlu diambil kira.
“Jika syarikat baharu mahu mengambil alih tetapi tidak sanggup menanggung keseluruhan beban termasuk kerugian deposit, itu juga tidak adil,” katanya.
Beliau menjelaskan, tanah projek berkenaan dimiliki Permodalan Nasional Bhd dan Kerajaan Negeri sedang mencari penyelesaian yang memerlukan masa untuk ditangani secara tuntas.
Sebelum ini, Amirudin memaklumkan isu itu sudah dibawa kepada campur tangan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
EXCO Perumahan Borhan Aman Shah sebelum ini memaklumkan projek itu dijangka siap Disember ini dengan beberapa siri mesyuarat dan lawatan tapak diadakan bersama kerajaan Persekutuan bagi memantau kemajuan.
Media turut melaporkan kira-kira 500 pembeli, kebanyakannya golongan B40, terpaksa menunggu sejak 2020 untuk memiliki rumah sendiri.





