UNISEL tawar biasiswa, jaminan kerja atasi kekurangan jururawat

7 Jun 2026, 1:00 AM
UNISEL tawar biasiswa, jaminan kerja atasi kekurangan jururawat
UNISEL tawar biasiswa, jaminan kerja atasi kekurangan jururawat

SHAH ALAM, 7 JUN: Model pendidikan sains kesihatan berasaskan jaminan pekerjaan yang dijalankan Universiti Selangor (UNISEL) berupaya menangani isu kekurangan jururawat dan penghijrahan tenaga kerja kesihatan.

Menurut dekan Fakulti Sains Kesihatan UNISEL, program Selangor Frontliner Apprenticeship Program (SELFA) Hospital Scholarship Program (HSP) menawarkan ekosistem pendidikan lebih mampan.

Mohd Sharikh Dali Mahad menjelaskan SELFA-HSP yang diperkenal sejak 2021 menggabungkan latihan akademik, pembangunan kompetensi industri dan laluan kerjaya yang lebih jelas kepada pelajar.

Dekan Fakulti Sains Kesihatan UNISEL Mohd Sharikh Dali

Menurut beliau, pendekatan tersebut signifikan ekoran Malaysia dijangka terus berdepan kekurangan tenaga jururawat sehingga 2030 berdasarkan unjuran Kementerian Kesihatan.

“Isu ketidakcukupan tenaga jururawat dijangka menjadi semakin kritikal dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Malah, menjelang 2030, sektor kesihatan awam dianggarkan berdepan kekurangan hampir 60 peratus tenaga jururawat, khususnya di hospital kerajaan,” katanya.

SELFA-HSP melibatkan kerjasama hospital swasta sebagai penaja melalui tawaran biasiswa penuh kepada pelajar diploma kejururawatan selain jaminan kerjaya selepas tamat pengajian.

Mohd Sharikh berkata kekurangan jururawat ketara pascapandemik Covid-19 apabila krisis kesihatan dunia membawa kesan langsung kepada kesinambungan rantaian penghasilan tenaga kerja baharu.

Katanya, gangguan terhadap proses latihan, penempatan klinikal dan pembangunan profesional mewujudkan jurang penawaran dan permintaan tenaga kerja itu dalam sektor sains kesihatan.

"Pemulihan kapasiti penghasilan jururawat dan tenaga pakar bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dalam tempoh singkat kerana proses melahirkan tenaga profesional berkualiti memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun latihan yang sistematik dan berterusan.

“Walaupun gangguan terhadap rantaian penghasilan tenaga kerja itu ha-nya melibatkan satu hingga dua kohort, kesannya amat besar apabila digabung dengan pertumbuhan pesat sektor penjagaan kesihatan global yang meningkatkan permintaan tenaga mahir saban tahun,” katanya.

Menurut Mohd Sharikh, ketidakseimbangan itu mengakibatkan pasaran lebih kompetitif terutama wujud penawaran pakej kerjaya lebih menarik dalam sektor swasta dan institusi luar negara.

“Dalam konteks pasaran terbuka, penghijrahan tenaga pakar tempatan sukar dielak. Namun, keadaan itu menjadi lebih mencabar apabila tekanan kerja yang berpanjangan dan isu burnout (kelesuan melampau).

"(Ini) mendorong sebahagian pengamal kesihatan untuk mencari persekitaran kerja yang lebih kondusif serta ganjaran yang setimpal dengan tahap kepakaran dan komitmen mereka,” katanya.

Bagi mengatasi isu kehilangan tenaga mahir dalam sektor kesihatan, beliau mencadangkan pakej lebih kompetitif termasuk gaji, suasana kerja dan perkembangan kerjaya lebih baik dibuat.

“Mahu tidak mahu, kita perlu kompetitif dari segi gaji dan sebagainya. Selain gaji, mungkin ada orang tidak terlalu mencari gaji tinggi tetapi suasana kerja sihat atau peluang perkembangan kerjaya," katanya.

Mohd Sharikh berkata sektor tersebut juga berdepan cabaran ekoran minat generasi muda terhadap sains kesihatan berkurangan meski bidang itu paling stabil dan berdaya tahan dari ketidaktentuan ekonomi.

“Generasi hari ini mungkin kurang didedahkan bahawa bidang sains kesihatan sebenarnya menawarkan jaminan kerjaya yang sangat kukuh, selain prospek pendapatan yang kompetitif dan peluang pembangunan profesional yang berterusan," katanya.

Beliau bimbang berikutan sebahagian besar pelajar tidak benar-benar memahami keluasan laluan kerjaya dalam bidang itu, hanya tertumpu kepada profesion kejururawatan atau doktor secara umum.

“Sedangkan bidang ini merangkumi pelbagai disiplin kritikal yang mempunyai permintaan tinggi di peringkat nasional dan global,” katanya lagi.

Katanya, bidang yang kian mendapat perhatian industri antaranya fisioterapi, pengimejan perubatan, teknologi makmal dan beberapa cabang lain yang menawarkan prospek memberangsangkan.

Justeru, Mohd Sarikh berkata Fakulti Sains Kesihatan UNISEL bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memperluas kesedaran pelajar mengenai peluang dan laluan kerjaya sektor tersebut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.