SHAH ALAM, 4 JUN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyita barangan peniaga yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah menerusi pemantauan berkala di sekitar Bukit Segar dan Taman Dagang, semalam.
MPAJ memaklumkan pemantauan itu dilaksanakan bagi memastikan aktiviti perniagaan dijalankan secara teratur, selamat dan mematuhi peraturan ditetapkan.
Menurutnya, tindakan sitaan diambil mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa selain memberi peringatan kepada peniaga supaya mendapatkan lesen serta kebenaran yang diperlukan sebelum menjalankan perniagaan.
Dalam operasi sama, MPAJ turut mendapati sebahagian penjaja mematuhi syarat dengan menjalankan perniagaan menggunakan lesen yang sah.
"MPAJ merakamkan penghargaan kepada peniaga yang sentiasa memberikan kerjasama dan mengamalkan budaya pematuhan dalam menjalankan perniagaan," katanya menerusi kenyataan.
MPAJ berkata pihaknya terus mengutamakan pendekatan pendidikan dan kesedaran bagi memupuk tanggungjawab bersama dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang teratur, bersih dan kondusif.










