SHAH ALAM, 4 JUN: Ketika kos perubatan naik hingga membebankan orang ramai untuk mendapat rawatan kesihatan, Selgate Corporation Sdn Bhd memberi tumpuan terhadap usaha merapatkan jurang kemampuan kewangan antara penjagaan kesihatan awam dan swasta.
Menurut ketua pegawai eksekutif kumpulannya, kenaikan kos hospital swasta, premium insurans dan cabaran aksesibiliti menyebabkan jurang melebar antara pesakit yang bergantung kepada hospital kerajaan dan kelompok yang mampu memperoleh rawatan swasta.
“Kemampuan bukan sekadar menawarkan harga lebih murah. Ia mengenai memastikan perkhidmatan kesihatan berkualiti dapat diakses secara realistik oleh lebih ramai rakyat.
“Itulah jurang yang kami cuba rapatkan iaitu jurang antara mereka yang bergantung kepada hospital kerajaan dan mere-ka yang mampu mendapatkan akses ke hospital swasta,” kata Datuk Noor Hisham Mohd Ghouth.
Dalam wawancara bersama Media Selangor di ibu pejabat Selgate di Seksyen 14 di sini baru-baru ini, beliau berkata peningkatan kos penjagaan kesihatan antara cabaran terbesar dalam industri, khususnya apabila premium insurans terus naik.
“Hari ini, isu melibatkan hospital awam dan swasta akhirnya berkisar kepada kos. Untuk mendapat rawatan di hospital swasta, kebiasaannya orang ramai memerlukan perlindungan insurans, namun premium terus meningkat dan ramai tidak mampu menanggungnya,” katanya.
Noor Hisham juga memberitahu kesesakan di hospital kerajaan turut memperlihat keperluan kepada alternatif yang lebih mudah diakses dalam sistem penjagaan kesihatan negara.
“Pada akhirnya, kami mahu lebih ramai rakyat khususnya penduduk Selangor dapat mengakses perkhidmatan kesihatan swasta tanpa perlu berkompromi terhadap kualiti.
“Bukan bermaksud hospital kerajaan tidak bagus. Malah banyak hospital kerajaan sangat baik, tetapi terlalu sesak,” katanya.
Beliau menegaskan matlamat Selgate yang ditubuh pada 2015 bukan bersaing secara agresif dari segi harga, sebaliknya meningkatkan aksesibiliti tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan.
Bagi mengawal kos tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan, Selgate memberi keutamaan kepada kecekapan operasi, penjagaan kesihatan pencegahan serta integrasi teknologi.
Noor Hisham berkata Selgate kini memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital dalam ekosistem penjagaan kesihatan bagi meningkatkan pengurusan pesakit serta penyampaian perkhidmatan.
Katanya, aplikasi AI diterap dalam operasi hospital dan platform digital Selgate untuk membantu proses membuat keputusan lebih pantas selain menggalakkan amalan penjagaan kesihatan pencegahan dalam kalangan pesakit.
“Peralatan kesihatan digital juga mampu membantu meningkatkan pematuhan pengambilan ubat, pengurusan temu janji serta kesedaran pesakit menerusi peringatan automatik dan ciri pemantauan kesihatan,” katanya.
Ditanya kesiapsiagaan syarikat berdepan konflik Asia Barat dan tekanan inflasi, Noor Hisham berkata permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan kekal stabil meskipun ekonomi berdepan ketidaktentuan.
“Penjagaan kesihatan bersifat kalis inflasi kerana orang ramai sentiasa memerlukan perkhidmatan kesihatan. Yang perlu kami lakukan ialah memastikan operasi kekal cekap supaya kos tidak meningkat secara berlebihan.”










