Hospital Pakar Selgate Sepang mula beroperasi suku keempat tahun ini

4 Ogos 2026, 4:56 AM
Hospital Pakar Selgate Sepang mula beroperasi suku keempat tahun ini
Hospital Pakar Selgate Sepang mula beroperasi suku keempat tahun ini

SHAH ALAM, 4 OGOS: Hospital Pakar Selgate Sepang dijangka memulakan operasi pada suku keempat tahun ini, manakala Hospital Pakar Selgate Setia Alam dijadual dibuka pada suku pertama 2027, kata EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin.

Beliau berkata, tarikh pembukaan kedua-dua hospital itu bagaimanapun tertakluk kepada proses pemeriksaan dan kelulusan lesen oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Berdasarkan pengalaman pembangunan dan operasi Selgate Specialist

Hospital Rawang (SSHR), kedua-dua hospital akan dilaksanakan secara

berfasa bagi memastikan perkhidmatan dapat dimulakan lebih awal

sebelum diperluaskan mengikut keperluan setempat.

"Fasa awal pembangunan akan memberi tumpuan kepada perkhidmatan kecemasan 24 jam, klinik pakar pelbagai disiplin utama dan sub kepakaran, wad pesakit dalam, dewan bedah and endoskopi, perkhidmatan diagnostik (makmal dan pengimejan), perkhidmatan kesihatan bersekutu seperti fisioterapi dan dietetik serta perkhidmatan saringan kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, Pua Pei Ling, mengenai Hospital Selgate pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sementara itu, Jamaliah berkata Hospital Selgate akan terus berperanan menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada masyarakat meskipun beroperasi sebagai hospital swasta.

"Hospital Selgate memang kategori swasta seperti KPJ walaupun di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor.

"Namun begitu, saya pernah berbincang dengan Selgate untuk bawa lebih manfaat kepada penduduk di mana pelbagai program boleh dilakukan secara kerjasama dengan negeri," katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Selgate Corporation mencatat satu pencapaian penting menerusi pelancaran hospital pakar di Rawang, fasiliti penjagaan kesihatan swasta utama pertamanya di wilayah tengah.

Pelancaran hospital itu mencerminkan visi jangka panjang syarikat untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti, prihatin dan mudah diakses komuniti di seluruh Selangor.

Majlis perasmian Hospital Pakar Selgate Rawang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Mei lalu.

Sejak mula beroperasi pada Oktober 2025, Hospital Selgate Rawang kini mempunyai kira-kira 300 kakitangan termasuk 120 jururawat serta disokong hampir 30 doktor merangkumi lebih 20 bidang kepakaran dan subkepakaran.

Hospital itu juga bakal memperkenalkan kemudahan rawatan jantung termasuk makmal kateterisasi (cath lab) menjelang hujung tahun ini bagi meningkatkan akses rawatan jantung di utara Selangor.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.