RAWANG, 22 MEI: Kerajaan Negeri terus memperkukuh penglibatan dalam sektor kesihatan menerusi pembangunan ekosistem menyeluruh yang bukan sahaja tertumpu kepada hospital, tetapi juga program kesihatan komuniti dan kebajikan rakyat.
Dato’ Menteri Besar berkata keuntungan daripada industri kesihatan itu perlu disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai program kesihatan awam dan inisiatif kebajikan.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pendekatan itu penting bagi memastikan keseimbangan antara pengurusan industri secara profesional dan bantuan kepada golongan memerlukan.
“Kita tidak mahu berhenti sekadar menjana keuntungan daripada perniagaan kesihatan. Pulangan itu sepatutnya dikembalikan kepada rakyat menerusi program kesihatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis peluncuran Hospital Pakar Selgate Rawang di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate Datuk Noor Hisham Mohd Ghouth, EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin serta EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi.
Amirudin berkata keuntungan masa depan daripada Selgate berpotensi digunakan bagi membiayai perkhidmatan ambulans, program rawatan komuniti, saringan kesihatan dan pelbagai inisiatif kebajikan lain.
Katanya, ia juga dapat membantu usaha pendigitalan serta integrasi ekosistem kesihatan Selangor secara lebih menyeluruh.
“Ini adalah usaha mencapai keseimbangan. Kita cuba mengimbangi antara mengurus industri secara profesional dan memastikan sokongan sampai kepada golongan berpendapatan rendah serta mereka yang memerlukan bantuan,” katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan Selangor hanya mula memberi perhatian serius kepada sektor kesihatan sekitar 2017, lewat berbanding beberapa negeri lain yang telah membangunkan hospital sendiri.
“Ini mungkin langkah yang agak lewat oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan negeri. Kita hanya benar-benar mula memikirkannya sekitar 2017.
“Tetapi lebih baik kita bermula lewat daripada tidak melakukannya langsung. Sekurang-kurangnya kita boleh belajar daripada pihak lain dan menambah baik apa yang ada di Selangor,” katanya.
Menurut Amirudin, penglibatan Selangor dalam sektor kesihatan bukan sekadar membina hospital, malah merangkumi pembangunan rangkaian klinik, makmal, program penjagaan pencegahan, saringan kesihatan dan vaksinasi komuniti.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif kesihatan sejak 2016 termasuk program gaya hidup sihat dan Iltizam Selangor Sihat (ISS), meskipun sektor kesihatan bukan di bawah bidang kuasa langsung negeri.
“Kita cuba membudayakan amalan hidup sihat, bukan hanya memberi tumpuan kepada rawatan,” katanya.
Amirudin turut mengimbau peranan Selangor ketika pandemik Covid-19 termasuk pelaksanaan saringan besar-besaran dan usaha mendapatkan bekalan vaksin menerusi Selgate serta agensi berkaitan.









