SHAH ALAM, 4 JUN: Lebih kurang sedekad lalu, Selgate hanya sebuah klinik.
Kini anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor itu menerajui ekosistem kesihatan negeri termasuk meningkatkan akses, membina prasarana dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.
Perjalanan Selgate bermula pada 2015, ditubuhkan bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi meneroka perniagaan berkaitan penjagaan kesihatan.
Namun, asas penubuhannya bermula pada 2013 apabila PKNS menghimpun 11 anak syarikat untuk menilai semula hala tuju dan masa depan masing-masing. Ketika itu, Selgate belum wujud lagi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Selgate, Datuk Noor Hisham Mohd Ghouth, PKNS Holdings antara syarikat yang dibincang dan hampir ditutup kerana tiada kakitangan.
PKNS Holdings sebelum ini berperanan sebagai cabang pemasaran PKNS dengan menggaji tenaga kerja sektor swasta bagi melaksanakan perkhidmatan kontrak termasuk promosi dan pemasaran projek perumahan serta aset untuk jualan.
Noor Hisham diberi tanggungjawab membentang hala tuju masa depan PKNS Holdings. Pada masa itu, PKNS Holdings berdepan pilihan sama ada ditutup atau disusun semula dengan beralih ke bidang perniagaan baharu.
Beliau mencadangkan PKNS Holdings menceburi sektor yang belum ada dalam PKNS atau Selangor iaitu bidang kesihatan, seumpama KPJ Healthcare Berhad di Johor atau KMI Healthcare di Terengganu.
“Mereka mempunyai entiti yang mengurus atau menjadi penyedia penjagaan kesihatan utama bagi kerajaan negeri masing-masing. Saya rasa belum terlambat untuk Selangor memulakan langkah sama.
“Dari situ, saya mengambil inisiatif mencadangkan PKNS Holdings menceburi bidang kesihatan yang akhirnya membawa kepada penubuhan Selgate,” katanya kepada Media Selangor.
Kumpulan itu kemudian memperluas cita-citanya melangkaui operasi klinik termasuk mengambil alih dan menjenamakan semula rangkaian klinik yang kemudian dikenali sebagai Selcare Clinic.
“Ketika kami bermula, ramai meragui kemampuan kami kerana kami tiada pengalaman dalam bidang kesihatan, tiada rangkaian dan tiada rekod prestasi,” katanya.
Pada tahun-tahun awal penubuhan, tumpuan Selgate membina asas kukuh termasuk mendapat pembiayaan, membangunkan sistem operasi dan mengenal pasti aset penjagaan kesihatan untuk dikembangkan.
“Keyakinan bank sangat penting. Kami perlu membina jenama dan naratif perancangan lima hingga 10 tahun supaya institusi kewangan yakin terhadap unjuran kami,” kata Noor Hisham lagi.
Seiring perkembangan syarikat, Selgate meluaskan operasi ke arah ekosistem penjagaan kesihatan menyeluruh termasuk perkhidmatan diagnostik, bekalan farmaseutikal dan sistem sokongan penjagaan kesihatan bersepadu.
Strategi jangka panjang kumpulan itu antaranya membangunkan model bersepadu sepenuhnya yang menggabungkan klinik, hospital dan perkhidmatan sokongan kesihatan dalam satu ekosistem.
“Kami sedang membina sebuah ekosistem penjagaan kesihatan. Sebelum hospital siap dibangunkan, kami membangunkan perkhidmatan sokongan seperti farmasi, makmal dan sistem pengurusan penjagaan,” katanya.
Perkembangan Selgate turut dipandu matlamat untuk meningkatkan akses penjagaan kesihatan khususnya dalam merapatkan jurang antara perkhidmatan kesihatan awam dan swasta.
“Kami memahami rakyat memerlukan akses yang lebih cepat dan kesinambungan rawatan yang lebih baik bagi meningkatkan pengalaman pesakit.
“Pada masa sama, mereka juga bimbang mengenai kos rawatan. Itu cabarannya, bagaimana kita mereka bentuk sistem penjagaan kesihatan tanpa menjejaskan kualiti. Sebab itu, kami menitik berat integrasi, teknologi, penjagaan pencegahan dan kecekapan operasi,” katanya.
Noor Hisham mengakui keupayaan mendapatkan rawatan pada kos berpatutan kekal cabaran utama ekoran peningkatan kos hospital swasta serta beban kewangan berkaitan akses berasaskan insurans.
“Penjagaan kesihatan swasta banyak bergantung kepada insurans dan ramai berdepan kesukaran membayar premium. Itulah jurang yang cuba kami tangani,” katanya.










