SHAH ALAM, 3 JUN: Seorang pegawai kanan polis maut selepas motosikal ditunggang bertembung dengan sebuah lori di Jalan Batang Kali-Genting, semalam.
Mangsa, Superintenden Yuslimezam Hashim yang bertugas sebagai Ketua Jabatan Logistik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang meninggal dunia di lokasi kejadian kerana kecederaan parah di kepala.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika mangsa berusia 51 tahun menunggang motosikal seorang diri dari Alor Setar, Kedah menuju ke IPK Pahang.
“Apabila sampai di Jalan Batang Kali menghala ke Genting, mangsa mengambil selekoh ke kiri dan dipercayai telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori dipandu lelaki berusia 50 tahun.
"Mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian telah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat, manakala pemandu lori cedera ringan di muka dan dada," katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan kemalangan ini dan boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohammadi Mt Abu @ Ramli di talian 03-60641222 atau mana-mana balai polis berdekatan.








