SHAH ALAM, 14 OKT: Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Myvi dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori kontena yang diletakkan di tepi Jalan U10/99, Perindustrian Alam Awana, Seksyen U10, Puncak Alam, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 20-an tersepit di tempat duduk pemandu dan mengalami kecederaan parah di kepala.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.14 pagi.
Katanya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
“Tujuh anggota bersama dua jentera ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Mangsa tersepit di bahagian pemandu berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.







