SHAH ALAM, 23 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar dikurniakan kesembuhan segera selepas terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Gerik, Perak, awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar turut mendoakan agar segala urusan rawatan pendakwah itu dipermudah serta dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian berkenaan.
“Moga Allah SWT mempermudah segala urusan rawatan serta mengurniakan ketabahan dan kekuatan buat Ustaz dalam menempuh ujian ini,” katanya.
Beliau turut berharap Ustaz Wadi segera pulih dan kembali menyampaikan ilmu serta dakwah kepada masyarakat.
Sementara itu, menerusi hantaran di akaun Facebook Ustaz Wadi Annuar, dimaklumkan beliau bersama beberapa kakitangan terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan di Gerik.
Orang ramai turut diminta mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua yang terlibat dalam kejadian itu.
Menurut maklumat berasingan, Ustaz Wadi dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Gerik selepas mengalami kesakitan di bahagian perut dan dada, namun keadaannya dilaporkan stabil.







