KEADILAN muktamad calon, agihan kerusi PRN Johor dua minggu lagi

2 Jun 2026, 12:00 PM
KEADILAN muktamad calon, agihan kerusi PRN Johor dua minggu lagi
KEADILAN muktamad calon, agihan kerusi PRN Johor dua minggu lagi
KEADILAN muktamad calon, agihan kerusi PRN Johor dua minggu lagi

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dijangka memuktamadkan senarai calon serta jumlah kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam tempoh dua minggu lagi.

Naib Presidennya, Dato' Seri Amirudin Shari berkata parti itu kini memberi tumpuan kepada rundingan pembahagian kerusi, penyelarasan jentera serta pemilihan calon bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya berada pada tahap terbaik.

“Kita telah memikirkan kemungkinan pembubaran DUN Johor sejak dua bulan lepas dan semua persiapan telah pun diatur.

“Dengan pembubaran sekarang ini, parti perlu bergerak lebih pantas untuk memastikan isu pembahagian kerusi, persediaan logistik serta persediaan calon dapat dilengkapkan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 hari ini.

Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersama KEADILAN berkata beliau yakin kerjasama erat dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) akan memudahkan proses pembahagian kerusi antara parti komponen dalam gabungan itu.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan reruai Selangor Pavilion di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 2 Jun 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Saya percaya dengan hubungan dan kerjasama rapat antara pimpinan HARAPAN, semua perkara berkaitan pembahagian kerusi dapat dimuktamadkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Jika terdapat sebarang situasi yang memerlukan pertimbangan terhadap kerjasama dengan gabungan tertentu, perkara itu akan dibincangkan oleh Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan tertinggi,” ujarnya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan secara rasmi semalam bagi memberi laluan kepada PRN Johor ke-16.

Pembubaran itu diumumkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Pada PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala HARAPAN memenangi 12 kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh tiga kerusi, sementara MUDA satu kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi menetapkan tarikh penting pilihan raya termasuk penamaan calon, pengundian awal dan hari pengundian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.