PRN Melaka: Rakyat perlu nilai rekod, tawaran parti bertanding

29 Okt 2026, 1:08 PM
PRN Melaka: Rakyat perlu nilai rekod, tawaran parti bertanding

MELAKA, 29 OKT: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 perlu dijadikan ruang oleh rakyat negeri itu untuk menilai rekod setiap parti dan meneliti tawaran yang diberikan dalam menentukan kepimpinan negeri itu, kata Timbalan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Jonathan Vela.

Beliau berkata rakyat Melaka juga perlu menjadikan PRN ini sebagai peluang untuk mempersoalkan bagaimana parti-parti yang bertanding akan melaksanakan komitmen yang telah diumumkan.

“Nilailah apa yang telah dicapai, apa yang masih belum selesai dan apakah perancangan yang dikemukakan untuk masa depan negeri,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Jonathan berkata KEADILAN akan terus membawa prinsip keadilan untuk semua, tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang dan ia akan diterjemahkan melalui tindakan konsisten, dasar inklusif dan komitmen untuk mendengar suara rakyat.

“Menjelang PRN Melaka, tema Pakatan Harapan (HARAPAN), ‘Melaka Rumah Kita’, mencerminkan aspirasi untuk membina masa depan negeri yang lebih baik melalui usaha bersama dan keutamaan terhadap kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata bagi KEADILAN, perjuangan politik bukan sekadar usaha mendapatkan mandat, tetapi tanggungjawab untuk memastikan dasar dan keputusan yang dibuat membawa perubahan bermakna kepada kehidupan rakyat.

Katanya, isu peluang pekerjaan, pendapatan, kos sara hidup, perlindungan pekerja dan kesejahteraan keluarga akan terus diberi perhatian oleh parti berkenaan melalui tindakan jelas serta pelaksanaan yang boleh dinilai.

Jonathan berkata pelbagai usaha telah digerakkan melalui peranan KEADILAN dalam kerajaan untuk memperkukuh perlindungan sosial, memperluas peluang ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.