SHAH ALAM, 3 JUN: Pakar memberi amaran bahawa proses urbanisasi pesat di bandar utama termasuk Selangor menyempitkan pilihan hidup sihat yang memberi kesan kepada kesihatan awam.
Tambah mereka lagi, tanpa pendidikan kesihatan yang lebih kukuh, langkah pencegahan dan sokongan sistem yang menyeluruh, Selangor berisiko berdepan beban penyakit tidak berjangkit (NCD) serta pertambahan masalah kesihatan mental, meskipun mempunyai sistem kesihatan yang terkedepan.
Pensyarah Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata pembangunan negeri turut membawa cabaran gaya hidup yang menyumbang kepada peningkatan penyakit tidak berjangkit.
“Dengan pelbagai pilihan tempat makan, tabiat pemakanan tidak sihat semakin ketara. Makanan segera dan makanan terproses juga banyak dipasarkan dan diambil,” katanya kepada Media Selangor.
Tambahnya, kebanyakan penduduk juga kurang melakukan aktiviti fizikal kerana dibebani tuntutan kerja dan kehidupan harian, sekali gus menyumbang kepada pemakanan tidak seimbang, gaya hidup tidak sihat dan peningkatan NCD.

Sementara itu, Prof Madya Dr Aidalina Mahmud dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata tabiat tidak sihat di Selangor bukan sekadar pilihan individu, sebaliknya dipengaruhi persekitaran bandar.
“Tempoh perjalanan yang panjang, kerja di meja, dan akses mudah kepada makanan murah tetapi tinggi kalori menjadikan pilihan tidak sihat sebagai kebiasaan,” katanya.
Beliau berkata usaha meningkatkan kesihatan awam perlu melangkaui nasihat kepada individu, sebaliknya membina persekitaran yang menyokong gaya hidup sihat termasuk komuniti mesra pejalan kaki, pilihan makanan lebih sihat dan budaya kerja yang memberi ruang kepada kesihatan.
“Perubahan paling penting ialah mengiktiraf bahawa pencegahan berkesan memerlukan persekitaran menyokong, bukan sekadar nasihat,” katanya.
Beban kesihatan mental
Selain kesihatan fizikal, kedua-dua pakar turut menekankan peningkatan kesan tekanan kronik terhadap kesejahteraan mental yang dikaitkan dengan kehidupan bandar.
Dr Sharifa berkata faktor seperti tekanan kewangan, tuntutan kerja dan pembelajaran serta kesesakan lalu lintas menyumbang kepada penurunan kualiti hidup.

Dr Aidalina pula berkata tekanan di kawasan bandar sering bersifat berpanjangan dan terkumpul, namun kerap dianggap normal walaupun memberi kesan besar kepada kesihatan mental.
“Tekanan bandar di Selangor bukan hanya satu peristiwa terpencil, tetapi tekanan kronik yang terkumpul. Ia sering tidak kelihatan tetapi memberi kesan besar kepada kesihatan mental,” jelasnya.
Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, sebanyak 4.6 peratus atau kira-kira satu juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas mengalami kemurungan, hampir dua kali ganda berbanding 2019.
Hampir separuh responden turut melaporkan pernah terfikir untuk mencederakan diri atau membunuh diri, manakala satu daripada enam kanak-kanak di Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.
Sementara itu, laporan Khazanah Research Institute (KRI) 2023 bertajuk Sistem Kesihatan Awam Malaysia: Sumber Kesihatan Mental mendedahkan yang kesihatan mental pekerja turut memberi kesan besar kepada ekonomi.

Pada 2018, kajian RELATE Malaysia menganggarkan masalah kesihatan mental di tempat kerja menelan kos ekonomi sebanyak RM14.46 bilion, berpunca daripada ketidakhadiran kerja (RM3.28 bilion), kerja lebih masa dan hadir kerja ketika sakit (RM9.84 bilion) serta keluar masuk pekerja (RM1.34 bilion).
Dr Aidalina berkata peningkatan kesejahteraan mental memerlukan intervensi praktikal termasuk akses kaunseling, dasar tempat kerja lebih baik dan sokongan komuniti yang kukuh.
“Perlu ada sokongan praktikal. Adalah tidak realistik untuk mengharapkan individu mengurus tekanan struktur tanpa sokongan sistem yang lebih luas,” katanya.
Mengulas akses kesihatan, kedua-dua pakar berkata walaupun Selangor mempunyai kemudahan kesihatan yang luas, jurang antara perkhidmatan awam dan swasta masih wujud.
Dr Aidalina berkata sistem sedia ada masih bersifat dua lapis, dengan fasiliti awam yang sesak manakala rawatan swasta pula kurang mampu diakses oleh sebahagian besar rakyat.
Dr Sharifa pula menambah peningkatan hasil kesihatan memerlukan kesedaran yang lebih tinggi serta penglibatan berterusan dengan penyedia kesihatan termasuk saringan berkala dan penjagaan pencegahan.









