Panorama KL tarikan puncak ALOP, tumpuan pelancong tempatan, antarabangsa

31 Mei 2026, 11:59 PM
Panorama KL tarikan puncak ALOP, tumpuan pelancong tempatan, antarabangsa
Panorama KL tarikan puncak ALOP, tumpuan pelancong tempatan, antarabangsa
Panorama KL tarikan puncak ALOP, tumpuan pelancong tempatan, antarabangsa
Panorama KL tarikan puncak ALOP, tumpuan pelancong tempatan, antarabangsa

AMPANG JAYA, 1 JUN: Puncak Ampang Look Out Point (Puncak ALOP) yang dibuka semula sejak Mac lalu terus mencuri perhatian pengunjung tempatan dan antarabangsa sebagai antara destinasi pelancongan baharu di Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata lokasi itu menjadi pilihan ramai kerana menawarkan panorama luas yang mempamerkan keindahan bandar raya Kuala Lumpur dan Lembah Klang dari kawasan tinggi.

Menurutnya, Puncak ALOP bukan sahaja menerima kehadiran pelancong luar negara malah turut menjadi tumpuan masyarakat setempat terutama pada hujung minggu.

“Destinasi Puncak ALOP ini menjadi satu destinasi bukan sahaja untuk antarabangsa… sebenarnya pada hujung minggu kita boleh nampak orang tempatan pun ramai datang,” katanya ditemui pada majlis makan malam Malaysia-China bersama lebih 100 pelancong dari China malam tadi.

Beliau berkata pengunjung yang datang ke lokasi itu memilih waktu matahari terbenam bagi menikmati pemandangan indah serta merakam gambar berlatarbelakangkan panorama Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling ditemui media ketika Majlis Makan Malam Persahabatan Malaysia- China 2026 di Puncak ALOP Ampang pada 31 Mei 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Di sini, kita sebenarnya dapat lihat pandangan Lembah Klang yang cantik. Kebanyakan orang yang datang suka memilih masa 'sunset'. Mereka boleh tangkap foto 'sunset' yang sangat cantik,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Puncak ALOP sebagai destinasi unik kerana menggabungkan elemen alam semula jadi dan kedudukannya yang berhampiran kawasan bandar.

“Bagi saya ini satu destinasi baru, berdekatan bandar dan dalam hutan rekreasi. Pelancong antarabangsa datang sini boleh menikmati tropical forest di tempat ini,” katanya.

Selain menjadi lokasi pelancongan, beliau berkata kawasan berkenaan turut berpotensi dijadikan lokasi penganjuran pelbagai program melibatkan komuniti setempat.

Menurutnya, Tourism Selangor sedang memperbanyakkan produk pelancongan negeri termasuk usaha menjenamakan semula Puncak ALOP yang sebelum ini ditutup 10 tahun.

“Tourism Selangor kini sedang memperbanyakkan lagi produk pelancongan. Puncak ALOP ini bukan kira satu produk yang baru sebenarnya, dijuvinasikan dan dijadikan satu destinasi selepas 10 tahun ditutup.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) ketika merasmikan pembukaan semula Puncak Ampang Look Out Point (ALOP) di Bukit Ampang, Hulu Langat pada 30 Mac 2026. Foto AHMAD ZAKKI JLAN/MEDIA SELANGOR

“Sekarang Puncak ALOP dijenamakan semula dengan satu destinasi yang boleh dijadikan tempat untuk menganjurkan program khususnya untuk komuniti setempat juga,” katanya.

Puncak ALOP kembali dibuka kepada umum sebagai tarikan pelancongan baharu Selangor selepas melalui proses naik taraf dan pembangunan semula secara menyeluruh.

Dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, pembukaan semula itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sektor pelancongan, khususnya di kawasan berpotensi seperti Hulu Langat.

Projek pembangunan semula Puncak ALOP dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta dan dilaksanakan dalam dua fasa yang dijangka siap sepenuhnya tahun depan.

Fasa pertama yang telah siap melibatkan pelaburan RM10 juta, manakala fasa kedua dianggarkan menelan kos keseluruhan RM25 juta.

Pengunjung merakam keindahan pemandangan malam dari puncak Ampang Look Out Point (ALOP) di Bukit Ampang, Hulu Langat pada 30 Mac 2026. Foto AHMAD ZAKKI JLAN/MEDIA SELANGOR

Puncak ALOP yang terletak dalam kawasan Hutan Dipterokarpa Tanah Pamah pada ketinggian 260 meter dari paras laut menawarkan panorama luas hampir keseluruhan bandar raya Kuala Lumpur.

Kawasan itu turut menjadi lokasi pilihan untuk aktiviti santai waktu malam dalam kalangan golongan belia serta destinasi popular komuniti berbasikal.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.