HULU LANGAT, 31 MAC: Puncak Ampang Look Out Point (Puncak ALOP) kembali dibuka kepada umum sebagai tarikan pelancongan baharu Selangor selepas melalui proses naik taraf dan pembangunan semula secara menyeluruh.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembukaan semula itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sektor pelancongan, khususnya di kawasan berpotensi seperti Hulu Langat.
“Ketika penggal pertama saya sebagai EXCO, kita meneroka bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) untuk menjadikan kawasan ini, dan menghidupkan ia sebagai kawasan pelancongan.
“Selepas saya menjadi menteri besar, kita meneroka juga pelbagai lokaliti di sini kerana kita percaya potensinya setelah proses baik pulih cerun, dan seterusnya kita mula meneroka sehingga 2025 kita mulakan pelaksanaannya.
“Saya percaya Puncak ALOP boleh menjadi tarikan yang sangat menarik seperti mana tarikan lain di Selangor seperti taman tema dan sebagainya, ia boleh menjadi menambah tarikan pelancong,” katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Puncak Ampang Look Out Point (ALOP) di sini, malam tadi yang turut dihadiri EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling.
Sementara itu, Suee Lim berkata projek pembangunan semula Puncak ALOP dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta dan dilaksanakan dalam dua fasa yang dijangka siap sepenuhnya tahun depan.
Menurutnya, fasa pertama yang telah siap melibatkan pelaburan sebanyak RM10 juta, manakala fasa kedua dianggarkan menelan kos keseluruhan RM25 juta.
“Bagi fasa kedua, pembangunan merangkumi kemudahan seperti tapak perkhemahan dan karavan serta pembinaan menara tinjau, sekali gus memperkukuh kedudukan Puncak ALOP sebagai destinasi pelancongan utama negeri.
“Puncak ALOP juga telah memperoleh lesen operasi bagi memastikan aspek keselamatan, pematuhan peraturan serta keselesaan pengunjung sentiasa diberi keutamaan,” katanya.

Puncak ALOP yang terletak dalam kawasan Hutan Dipterokarpa Tanah Pamah pada ketinggian 260 meter dari paras laut menawarkan panorama luas hampir keseluruhan bandar raya Kuala Lumpur.
Kawasan itu turut menjadi lokasi pilihan untuk aktiviti santai waktu malam dalam kalangan golongan belia serta destinasi popular komuniti berbasikal.









