Selangor sedia hadapi impak krisis Asia Barat, El Nino - MB

31 Mac 2026, 1:29 AM
Selangor sedia hadapi impak krisis Asia Barat, El Nino - MB
Selangor sedia hadapi impak krisis Asia Barat, El Nino - MB
Selangor sedia hadapi impak krisis Asia Barat, El Nino - MB

HULU LANGAT, 31 MAC: Selangor bersiap siaga menghadapi cabaran ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat dan fenomena El Nino, dengan menekankan kerjasama semua pihak bagi memastikan kestabilan ekonomi negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor pernah berdepan pelbagai krisis sejak 2020 termasuk krisis politik, kesihatan serta bencana banjir besar pada 2021, namun berjaya bangkit sebagai penyumbang utama ekonomi negara.

“Pada 2020, kita berdepan pelbagai krisis seperti krisis politik, krisis kesihatan dan pada 2021 kita berdepan dengan krisis alam apabila hampir semua daerah di Selangor dilanda banjir.

“Tetapi kerana daya tahan, kita terus bangkit dan menjadi penyumbang ekonomi terbesar negara pada 2024,” katanya ketika berucap merasmikan Puncak Ampang Look Out Point (ALOP) di sini, malam tadi.

Majlis tersebut turut dihadiri EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Lau Weng San; Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling serta pemimpin tempatan.

Amirudin menegaskan semua pihak tidak boleh berasa selesa dalam situasi semasa, sebaliknya perlu bekerja lebih keras bagi memastikan ekonomi kekal stabil.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) ketika merasmikan pembukaan semula Puncak Ampang Look Out Point (ALOP) di Bukit Ampang, Hulu Langat pada 30 Mac 2026. Foto AHMAD ZAKKI JLAN/MEDIA SELANGOR

Katanya, kedudukan Selangor sebagai tunjang ekonomi negara menuntut negeri itu bertindak pantas dalam mendepani sebarang cabaran.

“Kenapa kita perlu cepat bingkas? Kalau kita patah, semua petunjuk ekonomi negara juga akan tunjuk kesan ekonomi yang buruk. Ini tanggungjawab nasional Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji pengurusan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang berjaya mengelakkan gangguan bekalan air sepanjang tahun ini, khususnya akibat pencemaran.

Menurutnya, semua kolam dan empangan di negeri ini dijangka mampu menampung bekalan sehingga enam bulan, menjelang ramalan fenomena El Nino pada pertengahan tahun ini.

“Tahun lepas pertama kali dalam sejarah kita berjaya elak henti tugas atau bekalan terputus akibat pencemaran. Tapi ini juga menuntut kita lebih terperinci untuk mengawasai bekalan sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, pakar klimatologi dan perubahan iklim menjangkakan dunia bakal merekodkan suhu paling panas susulan fenomena El Nino dan kesan pemanasan global.

Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang dilaporkan berkata, fasa El Nino berupaya meningkatkan suhu global, dengan tahun 2024 diisytiharkan sebagai tahun terpanas dunia susulan peningkatan suhu sebanyak 1.55 darjah Celsius.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.