Selangor rangka garis panduan pusat intervensi, 300 vendor daftar BRAIS

31 Mei 2026, 7:00 AM
Selangor rangka garis panduan pusat intervensi, 300 vendor daftar BRAIS

SELAYANG, 31 MEI: Kerajaan Negeri sedang merangka garis panduan pusat intervensi awal yang berdaftar sebagai vendor di bawah Bantuan Rahmah Insan Instimewa Selangor BRAIS 2026 bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi piawaian ditetapkan.

EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata langkah tersebut sebahagian daripada usaha menambah baik ekosistem intervensi awal untuk kanak-kanak berkeperluan khas di Selangor.

"Dalam proses menambah baik pusat-pusat intervensi, kita telah melaksanakan pendaftaran awal vendor dan setakat ini menerima penyertaan kira-kira 300 pengusaha pusat intervensi awal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Korban Perdana dan Kenduri Rakyat DUN Taman Templer di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Selayang Baru 2, semalam.

Pada April lepas, Anfaal berkata sejumlah RM800,000 diperuntuk bagi program BRAIS dalam membantu pembangunan dan pendidikan golongan orang kurang upaya.

Beliau berkata program itu menggantikan Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (ANIS) dan dijangka memanfaatkan 1,800 penerima.

Jelasnya, penjenamaan semula itu bertujuan memperkukuh sokongan menyeluruh kepada golongan OKU dan penjaga mereka menerusi bantuan kewangan serta bukan kewangan.

Dalam pada itu, Anfaal berkata Kerajaan Negeri turut meneliti aspek pematuhan dalam kalangan pusat intervensi berdaftar, termasuk kelayakan tenaga pengajar dan kaedah terapi yang dilaksanakan.

"Daripada aspek pematuhan dan pelaksanaan, satu garis panduan perlu dibangunkan. Kita tidak mahu ada pusat intervensi mendakwa mampu menyediakan terapi, tetapi gagal mematuhi syarat serta piawaian yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata pihaknya memandang serius keperluan memastikan pusat intervensi bukan sahaja memenuhi syarat pendaftaran dan pelesenan pihak berkuasa tempatan (PBT), malah kandungan serta pendekatan pembelajaran yang digunakan turut menepati standard ditetapkan.

Walaupun bidang pendidikan dan kesihatan berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, Anfaal berkata Selangor akan terus mengambil langkah proaktif bagi memperkukuh ekosistem sokongan untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

"Cabarannya ketika ini ialah kekurangan tempat di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah aliran perdana. Perkara ini perlu dibincangkan menerusi pendekatan seluruh negara dan bukan secara berasingan mengikut sektor.

"Saya melihat kerajaan Persekutuan mempunyai iltizam politik untuk melaksanakannya. Usaha itu bukan sahaja dapat membantu lebih ramai kanak-kanak berkeperluan khas memperoleh hak pendidikan mereka, malah membolehkan intervensi awal diberikan dengan lebih berkesan," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.